Rekod prestasi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dalam memastikan keselamatan negara telah membolehkan Singapura terus menarik perniagaan dan pelaburan, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.
Beliau berkata demikian semasa upacara peneguhan semula Hari SAF di Capital Tower pada 1 Julai, sambil menekankan apabila Singapura memberi jaminan bahawa pelaburan akan dilindungi, ia bukan sekadar janji kosong, lapor The Straits Times (ST).
“Ini bukan sekadar slogan, bahkan satu janji dan komitmen untuk terus berusaha menghadapi cabaran geostrategik dan keselamatan yang kian rumit,” katanya.
Yang lebih penting, tambah beliau, ia merupakan ikrar Kementerian Pertahanan (Mindef) dan SAF bahawa mereka akan terus berwaspada, bukan sahaja terhadap cabaran semasa atau masa lalu, bahkan terhadap ancaman masa depan yang perlu dikenal pasti dan ditangani lebih awal.
Dalam sesi dialog bersama Ketua Pegwai Eksekutif (CEO) Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Kok Ping Soon; dan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan dan CEO Pengurusan Komersial CapitaLand Investment, Encik Ervin Yeo, Encik Chan berkata orang ramai yakin terhadap Singapura, bukan sahaja daripada segi keselamatan, bahkan kestabilan peraturannya yang tidak berubah secara tiba-tiba.
Beliau mengaitkan perkara itu dengan generasi demi generasi anggota SAF yang telah berjasa dengan sentiasa bersedia menghadapi ancaman masa depan, serta mengambil langkah yang diperlukan sebelum ancaman itu muncul.
Ketika dunia sedang berpecah dan dipengaruhi oleh pelbagai kuasa, beliau berkata masih terdapat peluang untuk Singapura bekerjasama dengan rakan baru yang terus mempercayai kepentingan sistem sejagat berasaskan peraturan.
Ketika banyak pihak berusaha mempelbagaikan risiko mereka, peluang akan wujud bagi Singapura, asalkan negara ini kekal sebagai tempat yang selamat dan damai.
Untuk mencapai itu, masyarakat Singapura perlu kekal bersatu dan rakyat serta pemerintah perlu memberi tumpuan terhadap isu utama serta bersikap proaktif dalam menangani cabaran.
Encik Chan turut menegaskan walaupun dunia mungkin berada dalam keadaan tidak menentu, yang penting adalah memastikan Singapura tidak berada di kedudukan paling teruk apabila keadaan kembali pulih.
Upacara peneguhan semula Hari SAF pada 2025 buat kali pertama diadakan serentak di lima lokasi.
Sebelum ini, ia dianjurkan organisasi rakan awam di empat lokasi berbeza.
Dalam satu majlis berasingan yang dianjurkan Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF) di Suntec City, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, menekankan bahawa keamanan dan kestabilan adalah asas kejayaan Singapura.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada syarikat yang menyokong anggota Perkhidmatan Negara (NS) mereka, termasuk melalui susunan kerja yang fleksibel.
“Terima kasih kepada anda yang telah menunjukkan teladan. Saya harap lebih ramai akan ikut serta,” kata Dr Tan.
“Dasar mesra NS bukan sahaja mencerminkan patriotisme, bahkan etika perniagaan yang baik, tanda kepimpinan, ketahanan dan tanggungjawab.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg