Melihat bapanya berkhidmat sebagai anggota pasukan berseragam di Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menjadi pencetus inspirasi kepada Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) Abu Bakar Abdillah Alkatib untuk meniti kerjaya dalam bidang ketenteraan.

Beliau yang kini berusia 40 tahun dan memegang jawatan Komander Briged bagi Briged Infantri Ketiga Singapura (3SIB), berkata nilai disiplin, komitmen dan tanggungjawab yang ditunjukkan Allahyarham bapanya banyak mencorak keperibadiannya sejak kecil.

SLTC Abu Bakar merupakan antara 1,301 anggota SAF yang menerima kenaikan pangkat dalam satu majlis di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia Pusat (CMPB) di Hillview Link.

Pada usia 18 tahun, beliau dihantar mengikuti latihan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di Britain ketika konflik di Iraq dan Afghanistan sedang memuncak.

Di sana, beliau berpeluang bergaul dengan pegawai kadet daripada pelbagai latar budaya serta didedahkan kepada pelbagai gaya kepimpinan.

Menurutnya, moto akademi tersebut, ‘Serve to Lead’ (Berkhidmat untuk Memimpin), telah meninggalkan kesan mendalam terhadap cara beliau melihat peranan seorang pemimpin.

Sepanjang kerjayanya, beliau turut menyertai pelbagai latihan dan kursus di luar negara serta kerap berinteraksi dengan angkatan tentera asing.

Pengalaman tersebut membuka perspektif pemikirannya mengenai kepentingan hubungan pertahanan dan keselamatan dengan negara-negara rakan.

“Pendedahan itu benar-benar membentuk pandangan sejagat saya dan sentiasa mengingatkan saya tentang pentingnya mengekalkan keupayaan untuk mempertahankan diri. Apa yang kita tidak mampu pertahankan, tidak benar-benar menjadi milik kita,” katanya.

Pengalaman di Sandhurst itu juga mengubah pendekatan beliau terhadap kepimpinan.

Beliau mengamalkan konsep kepimpinan berteraskan khidmat, dengan menekankan sifat rendah hati, tidak mementingkan diri sendiri dan bertanggungjawab terhadap anggota yang dipimpinnya.

“Sejak muda lagi, saya mempunyai idealisme untuk mengabdikan hidup demi mempertahankan mereka yang tidak mampu mempertahankan diri sendiri. Itulah yang sentiasa memberi saya tujuan dan makna dalam setiap perkara yang saya lakukan,” katanya dalam wawancara bersama Berita Harian (BH).

Ketika ditemui, beliau turut mengenakan jam tangan milik Allahyarham bapanya sebagai tanda penghargaan terhadap insan yang banyak mempengaruhi perjalanan hidupnya.

“Malah, saya memakai jam tangan beliau hari ini. Jam itu sudah tidak berfungsi, tetapi ia sangat bermakna buat saya. Saya rasa beliau pasti bangga melihat saya dinaikkan pangkat hari ini,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibunya yang sentiasa memberikan sokongan sejak beliau menyertai tentera dua dekad lalu.

Pada masa yang sama, SLTC Abu Bakar turut mendedikasikan kenaikan pangkat daripada Leftenan Kolonel Kanan kepada Kolonel - yang berkuat kuasa pada 1 Julai - kepada isteri, ibu bapanya serta anak lelakinya yang berusia lapan tahun.

Menurut beliau, anaknya menjadi sumber kekuatan yang mendorongnya untuk terus memberikan yang terbaik walaupun berdepan cabaran tugas.

“Segala yang saya lakukan akan menjadi contoh kepada anak saya. Saya mahu beliau melihat apa yang diperlukan untuk berjaya dan bagaimana seseorang harus membawa diri. Anak saya sebenarnya memberi saya banyak kekuatan dan inspirasi untuk menjadi insan lebih baik,” katanya.

Isterinya, Cik Sarah Sotiriu, yang turut hadir semasa wawancara itu, berkata beliau amat bangga dengan pencapaian suaminya dan percaya kenaikan pangkat tersebut adalah hasil kerja keras serta pengorbanan yang dicurahkan selama ini.

SLTC Abu Bakar menambah: “Saya kini berharap dapat terus membimbing dan memberi inspirasi kepada generasi pemimpin masa depan agar mengamalkan nilai kepimpinan berteraskan khidmat seperti yang saya pegang sepanjang kerjaya.”

* Nota: Artikel dalam edisi cetakan BH menyatakan SLTC Abu Bakar sebagai Kolonel Abu Bakar dan ini kurang tepat. Semua kenaikan pangkat hanya berkuat kuasa pada 1 Julai.