Seiring kemajuan teknologi, guru kini dapat memanfaatkan pelbagai alat inovatif untuk mempertingkat pengalaman pembelajaran pelajar.
Salah satu alat itu ialah aplikasi CapCut, yang diperkenalkan dalam Bengkel Penciptaan Video sempena acara Hari Penghargaan Guru anjuran Berita Harian (BH) pada 15 November.
Diadakan di Restoran 1819 Aliwal di Aliwal St, acara itu menarik penyertaan sekitar 60 guru yang bersemangat mempelajari dan menyiapkan tugasan menggunakan aplikasi tersebut.
Sambil menjamu selera, para guru sekolah rendah dan menengah itu menyertai permainan kendalian penerima Anugerah Presiden Bagi Guru dan Anugerah Guru Arif Budiman 2017, Cikgu Djohan A Rahman, dan bengkel cipta video yang dikendalikan wartawan video BH, Encik Abdul Qayyum Sarip.
Dalam kumpulan empat orang, guru-guru itu menyahut cabaran menghasilkan sebuah video tidak melebihi 60 saat bertemakan pantun dua kerat dengan menggunakan aplikasi menyunting video CapCut.
Kumpulan dengan video terbaik memenangi hadiah baucar Grab, dengan juara menerima $30 setiap seorang, naib juara memenangi $20 setiap seorang dan kumpulan yang memenangi tempat ketiga menerima $10 setiap seorang.
Pengumuman pemenang bakal dimaklumkan di wadah media sosial BH.
Antara peserta ialah Cikgu Muhammad Sufian Kamalzaman, 45 tahun, guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Springdale.
Cikgu Sufian, yang menggunakan CapCut buat kali pertama, berkata: “Saya dapat belajar bagaimana anda mengambil gambar, mengambil video dan menggunakan CapCut dengan lebih kreatif dalam kegiatan. Saya akan gunakan untuk murid darjah lima saya untuk (memperbaiki) lisan.”
Cikgu Ummi Kalthum Mohd Basheer, 41 tahun, seorang guru Sekolah CHIJ Our Lady Of Good Counsel (OLGC), pula berkata: “Saya akan mula menerapkan penggunaan CapCut kerana saya rasa kemahiran itu sangat penting untuk lisan. Lagipun, ini semua memang minat pelajar sekarang.”
Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim, berkata: “Sesi seperti ini diadakan bagi membolehkan para guru memanfaatkan Gen G sebagai bahan pengajaran, sambil melengkapkan kemahiran baru seperti penggunaan aplikasi CapCut untuk mengajar Bahasa Melayu dengan lebih kreatif.
“Kami juga berharap hubungan baik yang terjalin dengan pihak sekolah dapat terus dipertingkatkan, sebagai usaha mempererat kerjsama melalui akhbar Gen G.”
Cik Norhaiza turut berkongsi tentang perkembangan akhbar pelajar BH, Gen G, atau singkatan bagi Generasi Geliga, yang berwajah baru sejak 2024.
Antara pengumuman baru mengenai akhbar itu adalah ia boleh diakses melalui laman Berita Harian mulai 2025.
“Ia membolehkan pelajar membaca kandungan dalam talian dengan akses 24/7. Ini memberi kemudahan kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat pada bila-bila masa dan di mana saja.
“Kandungan berita yang disediakan selaras dengan kurikulum sekolah, menjadikannya sumber pembelajaran yang sesuai untuk melengkapi pembelajaran di bilik darjah,” jelas Cik Norhaiza, yang turut menekankan bahawa kandungan turut lebih interaktif, termasuk video dan podcast, sesuai untuk generasi pelajar masa kini.
Log masuk ke platform ini juga akan dipermudahkan.
Pelajar sekolah menengah hanya perlu menggunakan e-mel sekolah mereka, manakala bagi pelajar sekolah rendah, SPH Media akan menyediakan akaun dan kata laluan untuk mereka.
Untuk memastikan kelancaran penggunaan, guru sekolah menengah akan menerima e-mel menjelang akhir November untuk mengemukakan e-mel pelajar sebelum tarikh akhir pada 23 Disember.
Bagi pelajar Menengah satu, penyerahan boleh dilakukan pada 2025. Bagi sekolah rendah yang melanggan Gen G, SPH Media akan menyediakan akaun dan kata laluan untuk murid-murid, dan guru akan dimaklumkan mengenai senarai e-mel murid-murid mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg