Penterjemahan memainkan peranan penting dalam kehidupan harian manusia.
Ini kerana penterjemahan yang bermutu dapat memastikan bahawa mesej dapat disampaikan dengan berkesan.
Kepentingan penterjemahan inilah yang dirasakan oleh guru Sekolah Menengah Changkat Changi, Encik Djohan Abdul Rahman, yang juga merupakan seorang penterjemah di bawah projek Penterjemah Kita (CT) yang dimulakan oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC).
Sebagai seorang penterjemah, beliau bukan sahaja menterjemah teks di poster, malah membantu untuk menterjemah ucapan-ucapan.
“Saya dapat peluang menterjemahkan bahan untuk badan pemerintah dan kelab-kelab masyarakat, serta memberikan mereka kepastian dan maklum balas tentang terjemahan yang dihasilkan,” kongsi Encik Djohan.
Beliau juga temui proses penterjemahan yang berkesan – iaitu berbalik kepada konteks dan matlamat teks tersebut, serta kenal pasti khalayak yang ingin disampaikan mesej tersebut.
“Matlamat utama adalah komunikasi yang berkesan antara sumber dan pembaca,” kata guru berusia 53 tahun itu.
Encik Djohan berkongsi bahawa beliau padatkan sesebuah terjemahan jika ia akan memudahkan pemahaman pembaca.
“Jikalau sesuatu terjemahan itu terlalu panjang, kita mungkin boleh potong dan jadikan dua ayat agar lebih mudah difahami,” jelas beliau.
Selain itu, beliau juga cuba memastikan bahawa istilah bahasa Melayu yang sedia ada digunakan, dan bukan sekadar menggunakan perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris.
Beliau juga memastikan bahawa bahan terjemahan tidak mempunyai penterjemahan yang langsung.
“Kalau hendak penterjemahan langsung, sudah tidak perlukan saya.
“Lagi mudah gunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mendapatkan keputusan dengan pantas,” kata beliau sambil ketawa.
Menurutnya, kelebihan penterjemah manusia adalah mereka mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai budaya, jiwa dan nilai khusus sebuah bangsa yang mungkin belum dapat digarap sepenuhnya oleh AI.
Encik Djohan juga berkongsi bahawa manusia harus lari daripada pandangan bahawa AI akan menggantikan penterjemah.
Namun beliau menekankan bahawa penterjemah yang tidak mendakap kelebihan AI itu akan ketinggalan.
“Kewujudan AI bukan dijadikan sebagai aspek saingan tetapi lebih kepada kerjasama.
“Kita harus melihat AI sebagai pendorong untuk kita melakukan sesuatu agar kita kekal relevan,” kata Encik Djohan.
Beliau juga memesan bahawa seseorang itu tidak harus terlalu selesa dan leka dengan pengalaman yang mereka miliki.
“Sebagai seorang penterjemah, kita harus sentiasa membuat kajian, mengenal pasti konsep-konsep terkini, dan tidak boleh hanya diam dan selesa sedang persekitaran bergerak dan maju ke hadapan,” kongsi beliau yang sudah mempunyai lebih 20 tahun pengalaman sebagai guru.
Beliau merujuk kepada Persidangan Ulang Tahun ke-10 NTC yang akan berlangsung pada 15 November di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura, sebagai peluang yang baik untuk belajar daripada penterjemah lain melalui pelbagai perkongsian yang akan diadakan semasa acara tersebut.
Beliau sarankan golongan pelajar turut menghadiri persidangan tersebut.
“Ini agar mereka dapat lihat bahawa hal-hal yang bersangkutan dengan penterjemah adalah sesuatu yang besar.
“Jika mereka tidak diberi pendedahan sepenuhnya, mungkin itu sebabnya mereka menganggap penterjemahan sebagai sesuatu yang remeh,” jelasnya.
Beliau juga sarankan guru-guru supaya turut hadir agar dapat melihat profil pelajar yang kian berubah.
“Pelajar sekarang lebih fasih berbahasa Inggeris. Mungkin guru boleh pelajari bagaimana mereka boleh gunakan profil yang ada untuk memahami bahasa Melayu.
“Mungkin penterjemahan adalah salah satu pendekatan untuk mencapai matlamat itu,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg