Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cinta dan khidmat seiringan di kelab masyarakat

Nov 4, 2024 | 9:00 PM
Cik Kamisah Mahmood, 44 tahun, dan Encik Redzuan Ismail, 46 tahun, telah berkhidmat lebih sedekad di Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Kreta Ayer CC.
Cik Kamisah Mahmood, 44 tahun, dan Encik Redzuan Ismail, 46 tahun, telah berkhidmat lebih sedekad di Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Kreta Ayer CC. - Foto ihsan REDZUAN ISMAIL

Menjadi sukarelawan di Kelab Masyarakat (CC) pada hujung minggu bagi meluangkan masa bersama pasangan mungkin agak kekok bagi sebahagian orang.

Namun bagi Encik Redzuan Ismail, 46 tahun, dan Cik Kamisah Mahmood, 44 tahun, ia adalah satu pengalaman yang penuh bermakna.

Sejak tahun pertama perkahwinan mereka, pasangan ini telah mendedikasikan lebih sedekad untuk berkhidmat di Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Kreta Ayer CC.

Penglibatan serta komitmen mereka itu bukan sahaja menyumbang kepada masyarakat, malah mengukuhkan ikatan kasih sayang antara mereka berdua.

Encik Redzuan, yang juga bertugas sebagai pengurus operasi dalam sebuah syarikat logistik sepenuh masa, dibesarkan dalam keluarga yang menyokong kesukarelawanan, dengan nilai-nilai murni ini yang telah ditanam sejak kecil.

Cik Kamisah pula berbeza – jarang terlibat dalam dunia kesukarelawanan.

“Saya tidak begitu meminati idea menjadi sukarelawan pada awalnya,” ujar Cik Kamisah sambil tertawa.

Namun, pandangannya berubah selepas pasangan itu bertemu pada 2003 di Masjid Sultan dan sejak itu hubungan mereka menjadi erat.

Meskipun sifat mereka berbeza – Encik Redzuan seorang introvert (tidak cenderung bergaul dan berbual) manakala Cik Kamisah lebih peramah – mereka saling melengkapi satu sama lain.

“Kami faham apa yang diperlukan masing-masing,” kata Encik Redzuan.

“Jika salah seorang daripada kami tidak dapat berada di rumah disebabkan acara di CC, kami akan saling memahami,” tambah Cik Kamisah.

Sokongan dan pemahaman ini sangat penting terutama apabila Encik Redzuan menyandang jawatan pengerusi dalam tempoh dua tahun di MAEC.

Bergiat di Kreta Air, mereka turut bermatlamat meningkatkan kesedaran masyarakat Melayu/Islam di kawasan mereka.

“Memandangkan kawasan ini berdekatan dengan Chinatown, kami ingin menyatukan masyarakat Melayu/Islam yang menetap di sini,” ujar mereka.

Selama lebih lapan tahun, mereka bekerjasama rapat dengan sukarelawan masjid untuk merancang dan melaksanakan program yang memberi kesan besar kepada masyarakat Melayu/Islam di sekitar kawasan itu.

Antara inisiatif penting yang mereka laksanakan ialah acara pengagihan daging korban tahunan kepada penduduk yang memerlukan.

“Program ini bukan sahaja memenuhi keperluan masyarakat, bahkan memupuk perpaduan yang lebih tinggi di kalangan penduduk yang berbagai bangsa,” jelas Encik Redzuan.

Bersama pasukan MAEC, mereka mengumpulkan lebih 40 sukarelawan pelajar setiap tahun untuk mengagihkan barangan keperluan Hari Raya kepada penduduk yang memerlukan.

Sebuah acara perkelahan pada Disember 2023 adalah antara usaha Encik Redzuan Ismail (baris pertama, paling kiri) bersama pasukan MAEC untuk menyatukan masyarakat Melayu/Islam.
Sebuah acara perkelahan pada Disember 2023 adalah antara usaha Encik Redzuan Ismail (baris pertama, paling kiri) bersama pasukan MAEC untuk menyatukan masyarakat Melayu/Islam. - Foto ihsan REDZUAN ISMAIL

Menurut Encik Redzuan, acara tersebut merangkul pelbagai segmen masyarakat dalam sebuah usaha kolektif.

“Usaha ini telah membantu meningkatkan kehidupan penduduk flat sewa dan memperkukuh semangat memberi serta tanggungjawab sosial dalam kalangan belia,” tambah Cik Kamisah.

Mengimbas kembali pengalaman mereka, Encik Redzuan dan Cik Kamisah sepakat berkata bahawa bekerjasama ke arah matlamat yang sama telah mengeratkan lagi hubungan mereka.

“Ini menjadikan hubungan kami lebih mesra,” kata Cik Kamisah.

Dalam pada itu, Encik Redzuan menyatakan impiannya untuk meningkatkan kesefahaman pelbagai kaum tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama.

“Ini tidak mungkin berlaku tanpa sukarelawan belia kita,” ujarnya dengan penuh yakin.

Di sebalik setiap langkah mereka dalam dunia sukarelawan, tersimpan kisah cinta dan pengorbanan yang mendalam. Ia menggambarkan betapa amalan memberi membawa berkat dan kebaikan bersama.

“Hanya yang memberi, akan menerima lebih banyak,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg