Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sepucuk surat dorong kembali ke tanah air, bakti pada masyarakat

Nov 4, 2024 | 9:00 PM
Encik Syed Ahmad Syed Yusof Alsagoff, yang kini berusia 65 tahun, telah berkhidmat sebagai sukarelawan di Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias (CC) sejak 1995.
Encik Syed Ahmad Syed Yusof Alsagoff, yang kini berusia 65 tahun, telah berkhidmat sebagai sukarelawan di Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias (CC) sejak 1995. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Setelah lebih sedekad menetap di London, England, untuk melanjutkan pelajaran, Syed Ahmad Syed Yusof Alsagoff, tidak menyangka beliau akan diundang untuk menjadi sukarelawan sekembalinya ke tanah air pada 1991.

Ini kerana, beliau dan keluarganya perlu mengasimilasikan semula diri mereka dengan gaya hidup di Singapura.

Namun, Syed Ahmad, yang kini berusia 65 tahun, cukup terharu dan teruja apabila menerima sepucuk surat pada 1995 daripada Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias (CC) yang mengalu-alukan keluarganya berpindah ke kawasan kejiranan itu.

Sambil itu, mereka mengundangnya menjadi sukarelawan di situ.

“Surat itu mengajak saya berkhidmat walaupun pada waktu itu saya tidak terfikir untuk menjadi sukarelawan atau melibatkan diri dengan Persatuan Rakyat (PA),” kata Syed Ahmad, 65 tahun, bapa empat anak yang berusia antara 21 dengan 36 tahun.

Menceritakan permulaan beliau menyahut cabaran menjadi sukarelawan tanpa ramai kenalan dan dalam persekitaran baru dalam satu temu bual dengan Berita Harian (BH), pengarah syarikat industri landskap itu menambah:

“Saya tidak menjangkakan peluang ini. Sewaktu bertemu Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean, yang ketika itu Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Pasir Ris-Punggol, saya dengan jujur memberitahu beliau bahawa saya tidak mempunyai rangkaian kenalan untuk membolehkan saya menjadi sukarelawan yang baik.”

Namun, berbekal semangat berkhidmat dan dorongan sukarelawan lain yang membantu membina keyakinan dirinya, beliau menyahut seruan itu.

Sambil tersenyum mengenang detik-detik lampau, Syed Ahmad berkata: “Pada waktu itu, kebanyakan daripada kami masih muda dengan anak-anak kecil, jadi kami sangat bersemangat untuk melihat perubahan dalam masyarakat.”

Penglibatan dalam masyarakat turut merubah personalitinya daripada seorang yang pendiam kepada seorang yang lebih mesra dan tidak kekok mendekati orang ramai.

Perubahan itu membolehkan Syed Ahmad menggalas tugas sebagai pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat (CCMC) Pasir Ris yang bertanggungjawab menjalinkan kerjasama antara sukarelawan lain untuk memastikan pembangunan CC selaras dengan keperluan penduduk yang semakin meningkat.

Antaranya ialah Project Success, yang menghubungkan penduduk dengan agensi berkaitan untuk memadankan mereka dengan pekerjaan dan latihan demi menyokong inisiatif pekerjaan tempatan.

Selain itu, Syed Ahmad melibatkan penduduk dan pengguna CC Pasir Ris Elias bagi memastikan kemudahan serta program kendalian CC tersebut memenuhi aspirasi dan minat mereka.

Antara ciri utama peningkatan ini adalah penggunaan teknologi moden yang telah meningkatkan keupayaan dan pengalaman pengguna CC semasa satu proses naik taraf pada 2015.

Beliau juga memberi tumpuan kepada perancangan ruang untuk memenuhi keperluan pelbagai penduduk.

Menurutnya, pendekatan itu telah membawa kepada pengenalan kemudahan unik seperti ruang memanah dalam CC yang menunjukkan komitmen mereka bagi menyediakan pelbagai pilihan kegiatan riadah.

Memberikan pendapat mengenai pengumuman Ruang Inovasi Masyarakat (CIS) yang dilancarkan di 10 CC pada 4 November, Syed Ahmad berkata:

“Sebagai anggota CC, kami mahu mendorong penduduk mengemukakan idea mereka. Kita telah mencapai satu generasi di mana hampir semuanya di negara ini telah bertambah baik.

“Kita harus ubah tumpuan kita untuk melakukan sesuatu dengan cara yang berbeza, yang bermakna kita perlu ada sikap dan ruang untuk berinovasi.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg