Circles.Life naik yuran platform dari 30 sen kepada 70 sen mulai 1 Feb, cetus kritikan
Circles.Life naik yuran platform dari 30 sen kepada 70 sen mulai 1 Feb, cetus kritikan
Kenaikan akan biayai penambahbaikan, khidmat baru telko tersebut
Pelanggan syarikat telekomunikasi tempatan Circles.Life bakal berdepan kenaikan mendadak – hampir dua kali ganda – yuran platform bermula 1 Februari.
Yuran tersebut akan meningkat daripada 30 sen kepada 70 sen, dan menurut pengendali itu dalam e-mel pada 16 Januari, dana ini akan disalurkan terus bagi membiayai penambahbaikan dan perkhidmatan baru.
Semakan oleh The Straits Times (ST) mendapati bahawa Circles.Life merupakan satu-satunya pengendali mudah alih di Singapura yang mengenakan yuran platform.
Dalam kenyataan kepada media pada 21 Januari, Circles.Life menjelaskan ia merupakan satu-satunya syarikat telekomunikasi yang menggunakan platform digital buatan tempatan, dan perlu terus melabur demi menyediakan perkhidmatan yang lebih bernilai untuk pelanggan.
Syarikat telekomunikasi itu berkata ia telah menambah baik “perkhidmatan gaya hidup inovatif” sejak awal 2026 bagi “memberikan lebih nilai kepada pelanggan”.
Antaranya termasuk akses terkini kepada alat kecerdasan buatan (AI) terkemuka seperti GPT-5.2, Gemini 2.5 Pro, Gemini 2.5 Flash, Perplexity Sonar, DALL-E dan Whisper.
Circles.Life turut mengumumkan penambahbaikan program pulangan tunai dan pelancaran kad debit maya tidak lama lagi.
Yuran ini mula diperkenalkan pada 1 Mei 2025.
Menurut laman web Circles.Life, yuran platform bertujuan untuk “menyokong penambahbaikan pengalaman pengguna secara keseluruhan, supaya kami dapat memberikan lebih nilai kepada semua pelanggan kami”.
Laman web tersebut juga menegaskan pengecualian yuran tidak dibenarkan kerana ia adalah “bahagian penting dalam memastikan penambahbaikan berterusan terhadap perkhidmatan kami”.
Circles.Life berkata tiada rancangan segera untuk menaikkan yuran platform lagi, yang disemak secara berkala bagi “memastikan ia kekal adil, telus dan selaras dengan nilai yang kami berikan kepada pelanggan”.
Namun, mereka menambah bahawa sebarang perubahan akan dipertimbangkan dengan teliti dan dimaklumkan lebih awal dengan jelas, dengan “tumpuan yang kuat terhadap nilai dan pengalaman pelanggan”.
Kenaikan yuran itu bagaimanapun dirunguti sebahagian pengguna di media sosial yang mempersoalkan keperluan Circles.Life menambah ciri-ciri tersebut ke dalam aplikasinya.
Ada juga yang mengatakan bahawa aplikasi tersebut sebagai “terlalu sarat” dengan pelbagai ciri tambahan.

