Pembekal tenaga City Energy telah melancarkan rangkaian pengecas pertama di Singapura, yang membolehkan pemandu mengecas kenderaan elektrik (EV) mereka tanpa perlu log masuk ke dalam aplikasi atau bergantung kepada penerimaan telefon bimbit yang stabil.
Dibangunkan secara dalaman berdasarkan piawaian terbuka yang dikenali sebagai AutoCharge, sistem pengecas tanpa aplikasi ini kini tersedia di lima lokasi: Pullman Singapore Hill Street, Klimt Cairnhill, Komo Shoppes, North Gaia dan North Park Residences.
“Matlamat kami sentiasa mudah – untuk menjadikan pengecasan EV semudah dan senyaman mengecas telefon bimbit,” kata Encik Perry Ong, Ketua Eksekutif City Energy.
City Energy berhasrat untuk menggandakan saiz rangkaian pengecas EV mereka, yang dikenali sebagai City Energy Go, di Singapura kepada 248 unit menjelang 2028, menurut laporan akhbar The Straits Times (ST).
Satu perlima daripada stesen pengecas EV ini akan dilengkapi dengan teknologi AutoCharge menjelang 2028.
Pelancaran AutoCharge, yang turut digunakan secara meluas di Amerika Syarikat dan Eropah, adalah sebahagian pelaburan bernilai $100 juta oleh City Energy untuk memasang lebih banyak stesen pengecas di kawasan kediaman persendirian dan tapak komersial menjelang akhir 2030.
AutoCharge bertujuan menghuraikan masalah berterusan yang dihadapi pemandu EV, iaitu perlu menggunakan pelbagai aplikasi untuk mengecas di stesen yang dikendalikan oleh syarikat berbeza.
Ini diikut serta dengan masalah sambungan data mudah alih yang lemah di tempat letak kereta bawah tanah dan memuat turun aplikasi pengecas boleh menjadi sukar tanpa sambungan yang stabil.
Tidak seperti pemandu kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), pemandu EV perlu log masuk ke dalam aplikasi pengendali pengecas EV dan mengimbas kod QR pada stesen pengecas untuk memulakan proses pengecasan.
“Dengan AutoCharge, pemandu EV hanya perlu mendaftarkan kenderaan mereka sekali sahaja melalui aplikasi kami. Selepas itu, mereka hanya perlu sambung kabel pengecas dan mula mengecas tanpa perlu menyentuh telefon – tiada aplikasi, tiada imbasan kod QR, tiada kerumitan,” ujar Encik Ong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg