Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat gas baru, Singapore GasCo, dilancar pastikan bekalan gas asli stabil

May 7, 2025 | 7:26 PM
Singapore GasCo ditubuhkan bagi memastikan bekalan gas asli stabil dan selamat pada harga yang kompetitif.
Singapore GasCo ditubuhkan bagi memastikan bekalan gas asli stabil dan selamat pada harga yang kompetitif. - Foto ST

Sebuah syarikat baru, Singapore GasCo, telah ditubuhkan untuk menyatukan pembelian dan bekalan gas asli bagi sektor tenaga.

Ini bagi memastikan bekalan yang stabil dan selamat pada harga yang kompetitif.

Syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh pemerintah ini bertujuan menggabungkan permintaan dari syarikat penjanaan kuasa dan merundingkan kontrak gas yang lebih baik, menurut kenyataan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan Singapore GasCo pada 7 Mei.

Singapore GasCo juga akan membeli gas asli dari pelbagai sumber dan menjalinkan kontrak gas jangka panjang bagi menyediakan bekalan dan harga yang lebih stabil, lapor The Straits Times (ST).

Sebelum ini, banyak syarikat penjanaan enggan memasuki kontrak jangka panjang kerana bimbang terdedah kepada ketidakstabilan pasaran dan ketidaktentuan jangka panjang. Kini, gas asli menyumbang sekitar 95 peratus daripada penjanaan elektrik di Singapura.

Singapura mendapatkan gas asli daripada dua sumber – gas asli paip dari Malaysia dan Indonesia, serta gas asli cecair (LNG) dari pelbagai negara.

Contohnya, semasa krisis tenaga global dari 2021 hingga 2022 apabila harga gas meningkat mendadak, syarikat penjanaan kuasa individu mengurangkan pembelian gas, menyebabkan turun naik harga elektrik secara besar-besaran.

Sebagai sumber tenaga fosil yang paling bersih dengan pengeluaran karbon terendah bagi setiap unit elektrik, gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan tenaga Singapura semasa negara ini beralih kepada pengeluaran sifar bersih menjelang 2050, menurut kenyataan bersama itu.

Pengeluaran sifar bersih bermaksud negara ini akan mengurangkan jumlah gas rumah hijau yang dilepaskan ke udara, supaya ia tidak melebihi jumlah yang dikeluarkan.

Singapura dijangka bergantung pada gas asli untuk lebih separuh keperluan penjanaan tenaga menjelang 2035.

Singapore GasCo akan diketuai oleh Encik Alan Heng, yang dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif.

Encik Heng mempunyai lebih 37 tahun pengalaman dalam sektor tenaga, termasuk gas asli sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Pavilion Energy, yang disandangnya sehingga Mac 2025. 

Sebelum itu, beliau berkhidmat selama 23 tahun di ExxonMobil, memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan dalam perancangan, operasi, dan pemasaran.

“Penubuhan Singapore GasCo adalah satu pencapaian besar dalam perjalanan peralihan tenaga Singapura,” kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa syarikat ini akan memainkan peranan utama dalam menyokong sistem tenaga yang selamat, tahan lasak dan kompetitif dari segi kos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg