Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CMPB baru dibuka Jun, jadi pusat sehenti urusan tadbiran NS

Apr 10, 2025 | 7:24 PM
Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) yang baru terletak bertentangan dengan stesen MRT Cashew, berhampiran ibu pejabat Kementerian Pertahanan (Mindef) sedia ada di Bukit Gombak, akan menjadi pusat sehenti untuk semua urusan pentadbiran berkaitan Perkhidmatan Negara (NS), daripada pemeriksaan kesihatan hingga penggantian kit peribadi. 
Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) yang baru terletak bertentangan dengan stesen MRT Cashew, berhampiran ibu pejabat Kementerian Pertahanan (Mindef) sedia ada di Bukit Gombak, akan menjadi pusat sehenti untuk semua urusan pentadbiran berkaitan Perkhidmatan Negara (NS), daripada pemeriksaan kesihatan hingga penggantian kit peribadi.  - Foto ST

Orang ramai boleh menjangkakan kemudahan sukan baru dan sebuah medan selera di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) yang akan dibuka kepada pengunjung mulai Jun.

CMPB baru itu akan menjadi pusat sehenti untuk semua urusan pentadbiran berkaitan Perkhidmatan Negara (NS), daripada pemeriksaan kesihatan hingga penggantian kit peribadi. 

Ia bakal dibuka secara rasmi pada September, lapor The Straits Times (ST).

Menjelang September, bangunan itu akan beroperasi sepenuhnya, memberi perkhidmatan kepada kededua, anggota NS dan bakal rekrut.

Diumumkan buat kali pertama pada 2019, CMPB baru itu terletak bertentangan dengan stesen MRT Cashew, berhampiran ibu pejabat Kementerian Pertahanan (Mindef) sedia ada di Bukit Gombak. 

CMPB sedia ada terletak di Depot Road.

Berucap semasa taklimat media mengenai hab baru itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Kawasan Gombak, Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) Lau Hui Boon, berkata CMPB baru itu akan dibuka pada Jun, diikuti dengan majlis perasmian pada September.

SLTC Lau berkata CMPB itu akan menempatkan sebuah medan selera dengan sekitar 20 gerai dan 700 tempat duduk. 

Ia juga akan dilengkapi dengan sebuah tajaka, padang bola sepak, zon kecergasan dan laluan larian sepanjang 500 meter yang akan dibuka kepada orang ramai.

CMPB baru tu akan dihubungkan dengan stesen MRT Cashew melalui jambatan penghubung.

Ia mempunyai dua blok, satu untuk kemudahan awam dan satu lagi untuk khidmat pentadbiran NS.

Ia juga akan dilengkapi dengan trek larian berbumbung sepanjang 300 meter, bagi anggota kerahan NS menjalani Ujian Kecekapan Jasmani Perseorangan (IPPT) tahunan mereka. 

Berbanding CMPB sedia ada, hab bersepadu baru di Upper Bukit Timah Road itu akan menyingkatkan masa saringan kesihatan bagi bakal rekrut, yang juga boleh menjalani IPPT prarekrut mereka di lokasi sama.

Ia juga akan menempatkan hab kesihatan daerah (RHH) kedua, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), yang menggabungkan perkhidmatan penjagaan lebih menyeluruh buat askar – seperti program saringan kesihatan, rawatan pergigian dan pakar.

Hab kesihatan itu dijangka dapat memberi perkhidmatan kepada sekitar 200 anggota tentera setiap hari.

Mindef sebelum ini berkata mereka akan membina enam RHH di serata Singapura, yang akan menyepadukan perkhidmatan penjagaan kesihatan penting SAF untuk setiap daerah.

RHH pertama yang dibuka di Kranji pada 2023 memberi perkhidmatan kesihatan buat kem SAF di barat laut, seperti Kem Kranji I, II dan III, Kem Bukit Mandai, Berek Tahanan SAF dan Kem Stagmont.

Selain kemudahan perubatan dan kecergasan, CMPB baru itu dilengkapi dengan Lifestylemart, bagi anggota tentera membeli barangan berkaitan NS seperti kasut larian dan pakaian senaman.

Mereka juga boleh membeli barangan dalam talian dan mengambilnya sendiri di sana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg