Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

CNB: Bilangan pesalah dadah wanita yang diberkas meningkat

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

CNB: Bilangan pesalah dadah wanita yang diberkas meningkat

Bilangan pesalah dadah naik 10%, lebih separuh pesalah baru berusia bawah 30 tahun
Feb 14, 2024 | 05:22 PM



Bilangan pesalah dadah yang diberkas pada 2023 meningkat 10 peratus daripada 2022, dengan lebih separuh daripada pesalah baru yang ditangkap berusia bawah 30 tahun.

Data yang dikongsi Biro Narkotik Pusat (CNB) pada 14 Februari menunjukkan bahawa 3,101 pesalah dadah telah ditangkap pada 2023, berbanding 2,826 pada 2022.

Statistik itu turut menunjukkan bilangan pesalah dadah wanita yang ditangkap meningkat 11 peratus dari 408 pada 2022 kepada 454 pada 2023.

Daripada jumlah yang diberkas pada 2023, CNB berkata 944 merupakan pesalah dadah baru – naik 18 peratus berbanding 802 pada 2022.

Seramai 480 pesalah dadah baru atau 51 peratus dilaporkan berusia bawah 30 tahun.

Bilangan pesalah dadah bawah usia 20 tahun turut menunjukkan peningkatan sebanyak 13 peratus dengan 94 pesalah muda diberkas pada 2023 berbanding 83 pada 2022.

Lima remaja berusia 14 tahun merupakan antara pesalah termuda yang diberkas pada 2023, menurut CNB.

Ini menjadi kebimbangan pihak berkuasa, kata pengarah CNB, Encik Sam Tee.

“Situasi dadah Singapura masih terkawal, tetapi terdapat trend membimbangkan. Kami amat bimbang kerana pesalah dadah kini bermula pada usia yang jauh lebih muda.

“Kami juga melihat lebih ramai pesalah dadah wanita. Mereka kini membentuk 15 peratus daripada semua pesalah dadah yang ditangkap (pada 2023),” kata Encik Tee dalam satu kenyataan.

Bilangan pengguna dadah jenis kanabis atau ganja yang ditangkap pada 2023 mencecah paras tertinggi sepanjang 10 tahun.

Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 17 peratus daripada 236 pengguna ganja pada 2022 kepada 277 pada 2023.

Pengguna baru dadah berkenaan merangkumi 66 peratus jumlah keseluruhan, dengan 64 peratus merupakan mereka di bawah usia 30 tahun.

Tinjauan Kesihatan dan Gaya Hidup 2022 yang dijalankan Institut Kesihatan Mental mengesahkan pemerhatian ini dan mendapati bahawa usia purata pesalah dadah baru ialah 15.9 tahun, dengan 41.8 peratus pesalah mengatakan bahawa mereka telah mula mengambil dadah sebelum mencecah usia 18 tahun.

Ramai di kalangan mereka mengambil dadah di rumah sendiri atau di rumah rakan mereka.

Tinjauan Persepsi Dadah Nasional yang dijalankan Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA) Singapura pada 2023 mendapati 23.8 peratus belia beranggapan bahawa pengambilan dadah boleh diterima asalkan ia tidak memudaratkan orang lain, ataupun mereka tidak pasti akan perkara itu. 

Lebih 90 peratus belia yang ditinjau NCADA berasa pengambilan dadah harus kekal sebagai perkara yang menyalahi undang-undang Singapura. Namun, hanya 79.3 peratus mempunyai pandangan serupa apabila ia mengenai pengambilan ganja.

Seramai 4,808 orang telah ditinjau dan daripada jumlah itu, 3,033 adalah belia berusia 13-29 tahun, manakala 1,505 merupakan dewasa, berusia 30 tahun ke atas.

Encik Tee berkata belia di sini sentiasa terdedah kepada pandangan dadah liberal dan mereka memperoleh maklumat yang salah tentang kemudaratan dadah.

“Ibu bapa harus mempunyai perbincangan awal dengan anak-anak mereka tentang perkara itu, dan membimbing mereka ke arah menjalani kehidupan yang sihat, bebas dadah,” tambah Encik Tee. 

Pengerusi NCADA, Encik Tan Chong Huat, dalam satu kenyataan berkata perbincangan bermakna dengan golongan belia di sini boleh membawa kepada perubahan.

“Sebagai contoh, perbincangan yang mendalam tentang mengapa ramai belia mungkin berpendapat bahawa tidak mengapa untuk membenarkan ganja akan membantu memberi ruang mengenal pasti sumber pengaruh yang sah dan peluang menangani maklumat salah.


“Setiap orang mempunyai tanggungjawab kolektif dalam membina masyarakat bebas dadah untuk anak-anak kita,” kata beliau. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >