Biro Narkotik Pusat (CNB) telah melancarkan kempen ‘Uninfluenced’ (Tidak Terpengaruh) yang bakal berlangsung selama tiga tahun untuk menyokong sebuah Singapura bebas dadah, terutama dalam kalangan belia.
Pada 2024, jumlah dadah yang dirampas melalui usaha penguatkuasaan bernilai lebih $13 juta, menurut Laporan Situasi Dadah Singapura yang dikeluarkan CNB pada 2025.
Menurut satu tinjauan untuk kempen CNB itu, seorang dalam dua belia Singapura bersetuju bahawa sukar untuk menolak dadah kalau berada dalam suasana sosial.
Kenyataan yang dikeluarkan CNB pada 28 Februari itu juga menerangkan bahawa sebuah laporan pada 2023 oleh Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA) mendapati lebih ramai belia kenal seseorang yang telah menyalahgunakan dadah.
Namun, belia Singapura secara keseluruhan telah menunjukkan kebimbangan mereka terhadap isu penyalahgunaan dadah di Singapura.
Sebanyak 62 peratus berasa terdesak untuk mencuba dadah dalam majlis bertujuan sosial, walaupun mereka tidak semestinya mahu mencuba.
Kempen Uninfluenced oleh CNB bertujuan mencabar pemikiran orang ramai terhadap dadah melalui cara tidak tradisional.
Mesej untuk mendidik orang ramai tentang kepentingan mengelak dadah akan disampaikan kepada orang awam, untuk memulakan perbualan tentang isu itu.
Acara sempena kempen Uninfluenced ini akan bermula dengan sebuah permainan escape room yang bertajuk ‘The Trip - What Happened in Larspura?’, di Stamford Arts Centre dari 28 Februari hingga 6 Mac.
Ia dibuka dari 12.15 tengah hari hingga 9 malam dari Isnin hingga Jumaat, dan 10 pagi hingga 9 malam dari Sabtu dan Ahad.
Peserta bakal mengalami tiga bilik permainan yang memaparkan pengaruh pengkomersilan dan pemasaran dadah yang boleh memberi maklumat yang salah kepada generasi muda.
Permainan itu juga akan memberi peserta peluang mengimbangi kepentingan menjadi seorang sahabat yang membantu rakan yang terdorong menyalahgunakan dadah.
“Uninfluenced direka untuk memulakan perbualan dan melibatkan belia daripada generasi baru untuk menyedarkan mereka tentang dunia yang kian menyebarkan maklumat palsu dan naratif yang menyokong penggunaan dadah,” kata Cik Audrey Ang, Pengarah Komunikasi CNB.
“Sepanjang tiga tahun akan datang, CNB berharap dapat memperkasakan belia dan pihak berkepentingan untuk menjadi lebih fasih dalam perbualan yang lebih berkesan: perbualan yang berpotensi mencegah penyalahgunaan dadah.”
Orang awam juga boleh menyaksikan pertandingan video DrugFreeSG ‘Are we Uninfluenced’ pada Mac hingga September, dan Hari Pengingatan Mangsa Dadah pada Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg