Biro Narkotik Pusat (CNB) akan melancarkan Narconet pada hujung Julai, sebuah wadah berteknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengesan, menandakan dan merumuskan maklumat berkaitan kegiatan dadah daripada sumber teks, audio dan video yang terkandung dalam peranti digital tempatan.

Narconet merupakan salah satu daripada tiga inovasi teknologi baharu bawah pelan CNB 2030, yang bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti biro tersebut dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah.

Mengumumkan inisiatif tersebut semasa acara Seminar Pelan Kerja CNB yang diadakan di Singapore Expo Max Atria pada 22 Julai, Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann, turut mendedahkan dua lagi inovasi, iaitu, wadah yang menyediakan latihan dalam persekitaran realistik dan selamat, serta sistem automasi dan robotik baharu yang merangkumi sistem pengurusan senjata dan logistik.

Cik Sim berkata: “Narconet dibangunkan hasil kerjasama dengan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) dan ia dapat membantu proses siasatan.

“Ia juga mampu mengisi templat bahan bukti bagi kes dadah secara automatik dan membolehkan Pegawai penyiasat (IO) menumpukan perhatian kepada aspek penyiasatan yang lebih kritikal.”

Dengan Narconet, ia dapat mencepatkan proses semakan dengan menyatukan data daripada pelbagai peranti serta merumuskan ribuan log perbualan dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Melayu, Tamil dan Mandarin.

Pegawai penyiasat akan diberikan gambaran keseluruhan mengenai bukti yang boleh mengaitkan seseorang dengan kesalahan melalui penanda seperti penggunaan istilah slanga berkaitan dadah serta gambar dadah atau peralatan yang digunakan untuk penyalahgunaan dadah.

Bagi wadah latihan dalam persekitaran yang realistik buat pegawai CNB, teknologi realiti maya bagi simulasi prosiding mahkamah akan diperkenalkan.

Teknologi itu memberikan pegawai CNB pengalaman imersif ketika memberi keterangan di mahkamah.

Ia dilengkapi dengan latihan simulasi pemeriksaan balas yang menawarkan pilihan respons lisan, di samping maklum balas masa nyata serta pemantauan prestasi.

Namun, buat masa ini, ia masih belum dirancang untuk dilancarkan dalam masa terdekat.

Bagi sistem automasi dan robotik, Pusat Pelaporan Generasi Baharu atau ‘Next Generation Reporting Centre’ (NGRC) telah diperkenalkan pada 1 Julai 2026.

Sistem ini mengautomasikan proses pengambilan sampel air kencing, sekali gus mengurangkan sentuhan langsung pegawai dengan sampel serta meningkatkan kecekapan operasi dan tahap kebersihan secara keseluruhan.

Selain itu, sistem stor senjata automatik, yang dilancarkan pada 17 Julai 2026, membolehkan pergerakan senjata secara pukal tanpa memerlukan kehadiran seorang pegawai stor senjata, sambil tetap memastikan tahap akauntabiliti yang ketat terhadap semua peralatan.

Bagi pengurusan bahan bukti, CNB juga akan menyelaraskan proses mengambil gambar bahan bukti dadah, menimbang, melabel, membungkus dan menutupnya secara automatik.

Hal itu dapat mengurangkan risiko kesilapan manusia akibat pengendalian secara manual dan dapat memperkukuh integriti bahan bukti.

Sistem itu dijadualkan mula beroperasi pada suku keempat 2026.

Menurut Cik Sim, kegiatan serta kesan dadah pada peringkat global dan serantau kian meningkat.

“Masalah dadah di peringkat global bukanlah sesuatu yang jauh daripada kita. Kedudukan strategik Singapura sebagai hab udara dan maritim antarabangsa mendedahkan negara ini kepada ancaman global tersebut secara langsung.

“Ini merupakan peringatan penting bahawa pengedar dadah akan sentiasa berusaha menyeludup sejumlah besar dadah ke Singapura melalui sempadan negara.

“Saya gembira melihat bagaimana CNB telah memanfaatkan teknologi untuk menjadikan tugas mereka lebih berkesan.

“CNB akan terus memperkukuh keupayaan risikan dan siasatannya dengan memanfaatkan teknologi baharu bagi memperluas fungsi pengumpulan risikan digital, termasuk forensik telefon bimbit dan saringan risikan kewangan.

“Langkah ini akan memastikan kegiatan sulit individu yang cuba berselindung di sebalik kerahsiaan dalam Internet dapat dikesan dan dibongkar,” tambah beliau.

Masalah dadah di peringkat global bukanlah sesuatu yang jauh daripada kita. Kedudukan strategik Singapura sebagai hab udara dan maritim antarabangsa mendedahkan negara ini kepada ancaman global tersebut secara langsung.
Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann.

CNB akan terus memperkukuh keupayaan risikan dan siasatannya dengan memanfaatkan teknologi baharu bagi memperluas fungsi pengumpulan risikan digital, termasuk forensik telefon bimbit dan saringan risikan kewangan.
Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann.