Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penting urus sistem COE untuk kawal pemilikan kereta

Jan 7, 2025 | 11:00 PM
Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP), Cik Hazel Poa, memberi cadangan membentuk sistem Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) alternatif yang mengambil kira faktor ekonomi dan sosial dalam peruntukan kenderaan persendirian di parlimen pada 7 Januari.
Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP), Cik Hazel Poa, memberi cadangan membentuk sistem Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) alternatif yang mengambil kira faktor ekonomi dan sosial dalam peruntukan kenderaan persendirian di parlimen pada 7 Januari. - Foto fail

Adalah penting bagi Singapura menguruskan jumlah serta penggunaan kenderaan di Singapura kerana terdapat kekurangan dari segi tanah dan karbon.

Di sebalik cadangan Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang berniat baik untuk membentuk sistem Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) alternatif yang mengambil kira faktor ekonomi dan sosial dalam peruntukan kenderaan persendirian, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, berkata dalam keadaan sedemikian, harga COE mungkin menjadi lebih tinggi berbanding sekarang.

Menyuarakan kebimbangan mengenai mekanisme harga semasa, Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) daripada PSP, Cik Hazel Poa, dalam usul penangguhannya bertajuk ‘Sistem COE yang Lebih Saksama’, mencadangkan supaya sistem kredit COE dibentuk.

Cik Poa menerangkan kredit COE akan diagihkan oleh pemerintah kepada warganegara Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang dewasa, setiap bulan.

Jumlah kredit COE yang diagihkan bergantung kepada pelbagai faktor seperti kewarganegaraan, jumlah kanak-kanak, umur, jika mereka kurang upaya dan sebagainya.

Sistem tersebut juga membenarkan individu yang ingin memiliki kereta untuk membeli kredit COE daripada mereka yang tidak ingin memiliki kereta.

Menurut Dr Khor, untuk mengawal pasaran gelap, pemerintah perlu menubuhkan rejim perdagangan dan penguatkuasaan yang baru, yang akhirnya akan merugikan pembayar cukai.

PSP juga mencadangkan agar hak milik kredit COE tersebut boleh dipindah dan didagang.

Dalam pada itu, Cik Poa berkata keluarga boleh mengumpulkan kredit COE mereka bersama untuk membuat tawaran bagi kenderaan.

“Keluarga yang lebih besar akan mendapati ia lebih murah untuk memiliki kereta.

“Mereka yang ingin memiliki kenderaan boleh membeli kredit COE daripada mereka yang tidak, untuk mengemukakan tawaran yang lebih tinggi.

“Ini menyediakan sistem pemindahan daripada pemilik kenderaan kepada mereka yang menggunakan pengangkutan awam,” kongsinya.

Namun, Dr Khor menjelaskan sistem sedia ada telah mencapai sistem cadangan PSP pada peringkat makro.

“COE yang dibayar oleh pemilik swasta merupakan sebahagian daripada hasil pemerintah, yang digunakan untuk membiayai subsidi pemerintah untuk pengangkutan awam dan barangan awam lain seperti perumahan, penjagaan kesihatan dan pendidikan,” kongsi Dr Khor.

PSP menekankan keperluan untuk menghantar isyarat terhadap pengumpulan kereta oleh isi rumah yang amat kaya, apabila COE yang terhad ini mungkin lebih berguna untuk isi rumah lain yang tidak memiliki kereta pada masa ini.

“Kami berpendapat bahawa levi tambahan perlu dikenakan ke atas sebarang pembelian kereta tambahan oleh isi rumah,” ucap Cik Poa.

Membalas, Dr Khor berkata pemerintah akur akan kebimbangan terhadap harga COE yang tinggi dan di mana sesuai, akan terus menambah bekalan COE melalui pendekatan ‘potong dan isi’ untuk kenderaan kategori A, B dan D, yang membawa ke hadapan COE dari tahun bekalan paling tinggi untuk memenuhi keperluan sedia ada.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg