Harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) turun merentasi semua kategori kecuali motosikal, dengan premium bagi kereta lebih kecil mencatat penurunan sebanyak $8,601 pada 5 Februari.
Pada harga $85,000, premium bagi COE Kategori A turun 9.2 peratus berbanding $93,601 yang direkodkan dalam tender sebelumnya pada 22 Januari.
Sijil Kategori A diperuntukkan untuk kereta dan kenderaan elektrik (EV) kecil dan kurang berkuasa.
Ini adalah tender COE pertama dalam tempoh kuota tiga bulan dari Februari hingga April.
Terdapat peningkatan sebanyak 8.2 peratus dalam jumlah sijil yang ditawarkan pada tempoh ini berbanding tempoh kuota lalu antara November 2024 dengan Januari 2025.
Bagi COE Kategori B, yang digunakan untuk mendaftar kereta dan EV yang lebih besar dan berkuasa, premium turun 4.7 peratus kepada $111,104, berbanding $116,625 yang direkodkan sebelum ini.
Harga COE Kategori Terbuka (Kategori E) turun 4.4 peratus kepada $110,000, daripada $115,112 yang dicatatkan dua minggu lalu.
Sijil kategori terbuka boleh digunakan untuk mendaftar mana-mana jenis kenderaan kecuali motosikal, tetapi biasanya digunakan bagi kereta yang lebih besar dan berkuasa.
Premium COE Kenderaan Komersial (Kategori C) turun 4.5 peratus kepada $62,506, berbanding $65,476, lapor The Straits Times (ST).
Walaupun semua kategori mencatat penurunan, harga COE motosikal naik 7.4 peratus kepada $8,289, berbanding $7,721 pada sesi sebelumnya – yang menyaksikan penurunan premium ketara sebanyak 14.2 peratus dari $9,001.
COE diperlukan untuk mendaftar kenderaan bagi digunakan di Singapura dan harga kenderaan biasanya termasuk kos COE.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg