Anak syarikat ComfortDelGro akan membuat bidaan untuk mengendalikan laluan kereta api metro di ibu kota Denmark, Copenhagen, melalui kerjasama dengan syarikat pengangkutan Perancis, RATP Dev.
Dalam kenyataan bersama pada 21 Januari, kededua syarikat berkata mereka telah membentuk konsortium, RATP Dev dan ComfortDelGro Transit, untuk membida kontrak operasi dan penyelenggaraan sistem metro Copenhagen.
Kontrak dijangka bermula pada September 2027 dan tender bakal dibuka pada Jun 2025, lapor The Straits Times.
Ini adalah kali ketiga kededua syarikat bekerjasama untuk membida dalam mengendalikan laluan kereta api.
Pada 2023, ComfortDelGro Transit mendapat kontrak untuk mengendalikan sektor selatan Laluan 15 Paris selama enam tahun, dalam konsortium antarabangsa bersama RATP Dev dan pengeluar kereta api Perancis, Alstom.
Pada November 2024, usaha sama antara SBS Transit (anak syarikat ComfortDelGro) dan RATP Dev Asia Pacific (anak syarikat RATP Dev) dilantik sebagai pengendali Laluan MRT Daerah Jurong (JRL) di Singapura.
Kontrak JRL ini menandakan kali pertama pengendali asing terlibat dalam industri kereta api Singapura apabila laluan itu mula beroperasi secara berperingkat pada 2027.
Sistem metro Copenhagen dimiliki kerajaan Denmark, tetapi diuruskan oleh Metro Service A/S, usaha sama antara dua syarikat Italy, Azienda Trasporti Milanesi dan Hitachi Rail STS.
Ia mempunyai empat laluan dengan 44 stesen, termasuk 30 bawah tanah.
Semua laluan tersebut berjalan secara automatik, tanpa pemandu dan beroperasi 24 jam sehari.
Pada Jun 2024, sekitar dua juta penumpang menaiki metro tersebut setiap minggu.
Kededua syarikat tersebut menyatakan bahawa sistem metro ini dijangka mengalami peningkatan dan pengembangan besar sepanjang kontrak baru, dengan jumlah penumpang dijangka meningkat.
Kerjasama itu akan menyediakan kepakaran untuk menaik taraf sistem tanpa gangguan, serta mengurangkan pengeluaran karbon.
Pada 2024, metro Copenhagen mengumumkan akan membuka tender untuk operasi dan penyelenggaraan empat laluan pada masa hadapan.
Penyedia perkhidmatan yang mendapat tender dijangka mengendalikan perkhidmatan penumpang, tiket dan penyelenggaraan aset.
Mereka juga akan terlibat dalam projek pelaburan besar, seperti penggantian tren dan sistem isyarat untuk laluan M1 dan M2.
Kontrak itu dijangka berlangsung selama 12 tahun dengan pilihan lanjutan tiga tahun.
Pembayaran akan dibuat dalam bentuk yuran operasi dan penyelenggaraan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg