ComfortDelGro labur lebih $200j bagi pusat memandu baru Choa Chu Kang
ComfortDelGro labur lebih $200j bagi pusat memandu baru Choa Chu Kang
Syarikat pengendali pengangkutan terbesar di Singapura, ComfortDelGro (CDG), akan melabur lebih $200 juta sepanjang 30 tahun bagi membangunkan latihan memandu di Singapura, termasuk menggunakan teknologi untuk menggantikan pengajar manusia di sebuah pusat memandu baru di Choa Chu Kang.
CDG berkata pada 11 Mac ia akan melabur dalam kemudahan latihan baru, teknologi dan operasi bagi memenuhi permintaan latihan di sekolah serta menangani kemerosotan bilangan jurulatih bebas.
Kira-kira 20 peratus daripada pelaburannya, atau $38 juta, ditawarkan dalam bidaan bagi sebidang tanah di Lorong Bistari, berhampiran Kranji Camp III, yang akan menggantikan Pusat Memandu Bukit Batok (BBDC) menjelang 2030.
Tapak di Choa Chu Kang seluas 24,890 meter persegi itu dibuka bagi tender awam pada 8 Oktober 2025 dan menerima dua bidaan apabila tender ditutup pada 26 Februari.
Selain Pusat Memandu ComfortDelGro (CDC), satu-satunya pembida lain ialah BBDC, yang menawarkan sedikit melebihi $25 juta.
Sekolah memandu bertingkat itu, dengan keluasan lantai kasar 72,500 meter persegi, akan menggunakan pelbagai teknologi untuk melatih bakal pemandu.
Ia dirancang dibuka secara berperingkat.
Pusat itu akan dilengkapi penderia dan kamera, serta pemantauan masa nyata dan kecerdasan buatan (AI) semasa penilaian, yang menurut CDG akan membolehkan “latihan lebih tepat dan bebas”.
Tambahnya, penggunaan teknologi itu akan mengurangkan keperluan jurulatih sambil meningkatkan produktiviti.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CDG, Encik Vincent Tan, berkata teknologi akan memberi manfaat kepada pelajar “melalui penilaian lebih cekap dan tepat, di samping menyumbang kepada jalan raya lebih selamat di Singapura”.
Pusat itu akan menjadi sekolah memandu bertingkat yang kedua di Singapura, selepas Pusat Memandu Keselamatan Singapura (SSDC), yang dibuka pada 2010, dan turut menawarkan lesen kenderaan berat Kelas 4 dan 5, yang kini hanya tersedia di SSDC.
Apabila siap kelak, pusat memandu baru itu akan mempunyai sekurang-kurangnya dua litar asas, setiap satu seluas 18,000 meter persegi.
Litar itu bertujuan mengajar kemahiran asas kepada mereka yang belajar memandu kereta dan motosikal.
Ia juga akan mempunyai sekurang-kurangnya dua litar pemanduan pintar, selain ruang yang diperuntukkan bagi tujuan tambahan termasuk bilik darjah dan kemudahan alat simulasi.
Pengarah Urusan dan CEO Kumpulan CDG, Encik Cheng Siak Kian, berkata:
“Pelaburan jangka panjang ini penting untuk menambah bilangan pemandu dalam sektor pengangkutan kita, dan mencerminkan keyakinan kukuh kami terhadap Singapura serta usaha berterusan untuk melabur semula, memperbaharui dan membina keupayaan di sini.”

