Mulai 1 Januari, bayaran mendapatkan lesen memandu menjadi lebih mahal berikutan kenaikan yuran di ketiga-tiga pusat memandu di Singapura.
Di Pusat Memandu Keselamatan Singapura (SSDC) di Woodlands, kos bagi latihan simulator wajib meningkat 25.2 peratus, daripada $24.38 kepada $30.52 bagi setiap sesi.
Bayaran untuk kelas teori pula naik 23.1 peratus, daripada $17.71 kepada $21.80 bagi setiap sesi 100 minit, lapor The Straits Times (ST).
Di Pusat Memandu Bukit Batok (BBDC), sesi latihan memandu praktikal selama 100 minit pada waktu sibuk kini berharga $86.11, meningkat 6.8 peratus berbanding sebelum ini.
Sementara di Pusat Memandu ComfortDelGro (CDC) di Ubi pula, harga bagi sesi praktikal waktu puncak naik 9.3 peratus, daripada $81.75 kepada $89.38.
Waktu sibuk di CDC termasuk sebahagian besar slot pada hari bekerja serta semua slot hujung minggu.
Terdapat dua jenis lesen memandu bagi kenderaan dengan berat tidak melebihi 3,000kg, iaitu Kelas 3 dan Kelas 3A.
Kebanyakan calon bagi kedua-dua lesen ini mengikuti latihan di pusat memandu, berbanding menggunakan jurulatih persendirian.
Antara November 2024 hingga Oktober 2025, seramai 20,124 calon mengambil ujian lesen Kelas 3 buat kali pertama, dengan 62.6 peratus merupakan pelajar pusat memandu.
Dalam tempoh yang sama, 25,981 calon mengambil ujian Kelas 3A, dengan 60.9 peratus mengikuti kelas di pusat memandu.
Jurucakap CDC berkata kadar bayaran bagi kelas praktikal kali terakhir disemak pada April 2024. Pusat itu turut melaksanakan kenaikan 12.1 peratus bagi kos latihan simulator, yang merupakan semakan pertama sejak kursus tersebut diperkenalkan pada Disember 2019.
Semakan harga ini turut melibatkan pemohon lesen motosikal dan kenderaan berat.
Menurut CDC, pelarasan harga dibuat bagi menyokong semakan gaji jurulatih, mengurus kos yang meningkat serta membiayai inisiatif teknologi.
SSDC pula berkata harga baru dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan perniagaan dan meningkatkan mutu perkhidmatan.
BBDC tidak memberi tindak balas sehingga waktu penerbitan.
Sebahagian pelajar berkata mereka terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi, menurut ST.
Pelajar Politeknik Temasek, Encik Javion Lim, 18 tahun, berkata kos akan bertambah kerana beliau masih perlu menghadiri banyak sesi latihan.
Beliau turut membayar kos tambahan kepada individu atau bot yang mendapatkan slot untuknya sebaik ia dilepaskan, memandangkan tempahan secara langsung hampir mustahil.
Pada Mei 2025, ST melaporkan pelajar menggunakan bot berautomasi atau membayar individu di platform seperti Carousell untuk mendapatkan slot sesi latihan.
Kekurangan jurulatih pula dikenal pasti sebagai punca masa menunggu yang panjang, dengan jumlah jurulatih susut daripada 845 kepada sekitar 700 orang pada 2024.
Bagi mengelakkan kaedah tidak rasmi, sesetengah pelajar memilih skim bimbingan premium, manakala yang lain beralih kepada jurulatih persendirian, walaupun kos keseluruhan masih dianggap tinggi.
Polis Trafik berkata pengeluaran lesen baru kepada jurulatih memandu persendirian telah dihentikan sejak 1987 sebagai sebahagian usaha memperkemas latihan pemandu, dengan jumlah jurulatih sedemikian kini 254 orang setakat 1 Jun 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg