Pengendali teksi terbesar di Singapura, ComfortDelGro, akan memperkenalkan dasar baru melibatkan caj pembatalan dan penungguan bermula 31 Julai.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 16 Julai untuk mengumumkan perubahan itu, ComfortDelGro berkata caj di bawah dasar baru ini hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh pengecualian, iaitu bermula 1 September bagi caj pembatalan dan 15 Oktober bagi caj menunggu.
Sepanjang tempoh ini, tiada caj akan dikenakan meskipun syarat caj telah dipenuhi.
Ini bagi membolehkan para penumpang dan pemandu membiasakan diri dengan dasar baru itu sebelum ia dilaksanakan secara sepenuhnya, lapor The Straits Times (ST).
Di bawah dasar pembatalan baru, penumpang boleh membuat pembatalan tempahan empat kali sebulan secara percuma dan ini hanya boleh digunakan apabila teksi belum tiba di lokasi pengambilan penumpang.
Setelah kuota empat pembatalan tempahan habis dipakai, caj sebanyak $4 akan dikenakan.
Namun, sekiranya teksi tiba di tempat pengambilan penumpang – yang ditentukan melalui data GPS – dan penumpang membatalkan perjalanan, caj $4 akan dikenakan.
Jika penumpang tidak berada di tempat pengambilan lebih daripada lima minit selepas teksi tiba, caj sebanyak $5 akan dikenakan.
Caj menunggu pula akan dikenakan sekiranya teksi telah menunggu penumpang melebihi empat minit.
Bagi setiap lima minit menunggu, caj sebanyak $3 akan dikenakan, sehingga had maksimum $9.
ComfortDelGro menyifatkan dasar baru ini sebagai lebih adil, kerana ia bertujuan memastikan “masa semua pihak dihargai dan pemandu diberi ganjaran yang setimpal apabila pelanggan membuat perubahan saat akhir pada perancangan mereka”.
Di laman webnya, syarikat itu menjelaskan bahawa caj berkenaan tidak dikenakan serentak – caj menunggu hanya akan dikenakan jika pelanggan melengkapkan perjalanan, manakala caj pembatalan atau caj tidak tampil di lokasi pengambilan pula dikenakan jika pelanggan langsung tidak menaiki teksi.
Bagi penumpang yang menggunakan kaedah bayaran tanpa tunai, caj akan ditolak secara automatik.
Bagi penumpang yang membayar secara tunai pula, caj akan dimasukkan ke dalam tambang perjalanan seterusnya menerusi aplikasi Zig ComfortDelGro.
ComfortDelGro turut memberi jaminan bahawa pemandu juga akan dikenakan tindakan sekiranya mereka membatalkan tempahan dan memastikan bahawa “dasar sedia ada bertujuan memastikan kedua-dua pihak dilayan secara adil”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg