Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kempen baru S’pura sasar kes elak tambang dalam teksi, PHV

92 kes penumpang elak bayar tambang disiasat pada 2024
Mar 2, 2025 | 2:47 PM
Sebanyak 92 kes mengelak tambang melibatkan teksi dan kenderaan sewa privet telah dirujuk kepada pihak berkuasa untuk siasatan pada 2024.
Sebanyak 92 kes mengelak tambang melibatkan teksi dan kenderaan sewa privet telah dirujuk kepada pihak berkuasa untuk siasatan pada 2024. - Foto ST

Satu kempen untuk menangani masalah penumpang mengelak tambang teksi dan kenderaan sewa privet (PHV) telah dilancarkan, walaupun bilangan kes yang dirujuk kepada pihak berkuasa untuk siasatan telah turun sebanyak separuh pada 2024 selepas trend menaik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebanyak 92 kes elak tambang melibatkan teksi dan PHV dirujuk kepada pihak berkuasa untuk siasatan pada 2024, menurut angka yang dikeluarkan kepada The Straits Times oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada Februari.

Ini hampir separuh daripada 198 kes yang disiasat oleh pihak berkuasa pada 2023. Terdapat 170 kes pada 2022 dan 96 pada 2021.

Daripada 92 kes pada 2024, beberapa kes melibatkan lima pesalah yang terlibat dalam pelbagai kes pengelakan tambang.

Dilancarkan pada 10 Februari, kempen Ride Clean, Pay the Fare (Pastikan Kenderaan Bersih, Bayar Tambangnya) bertujuan menggalakkan etika yang baik dan saling menghormati antara penumpang dengan pemandu, kata LTA dan PTC.

Selain menggalakkan pengguna membayar tambang mereka, kempen ini juga mendorong mereka memastikan kereta yang mereka tempah itu bersih.

Lebih 3,400 pelekat kereta yang mempromosikan kempen itu telah diedarkan setakat ini.

Selain mempamerkan pelekat ini dalam teksi dan kereta sewa privet (PHC), LTA dan PTC berkata kempen itu juga akan menampilkan video pendek untuk menggalakkan tingkah laku yang sopan ketika menaiki kenderaan sewa.

Pengelakan tambang biasanya berlaku apabila penumpang dijangka membayar untuk menaiki teksi atau PHV mereka menggunakan wang tunai.

Encik Ben Tan, 44 tahun, yang telah lama memandu teksi, merasakan kes mengelak tambang semakin bertambah berdasarkan anekdot daripada rakan pemandu teksinya dan pengalaman peribadinya.

Menceritakan kejadian lalu, beliau berkata pengelak tambang biasanya tidak akan membawa wang tunai dan meminta untuk membayar melalui kaedah seperti PayNow.

Mereka kemudian akan mendakwa aplikasi perbankan itu sedang menjalani penyelenggaraan dan menawarkan untuk membayarnya keesokan harinya sebaik sahaja perkhidmatan itu pulih.

Encik Tan berkata: “Saya hanya biarkan mereka pergi (tanpa menerima bayaran). Apa yang boleh saya lakukan? Ikut mereka ke rumah mereka untuk mengambil wang itu?”

Mengenai mengapa beliau tidak melaporkan kes-kes ini kepada pengendali pengangkutan, Encik Tan berkata platform itu akan meminta pemandu membuat laporan polis, yang boleh mengambil masa kira-kira dua jam.

Sebilangan besar perjalanan yang ditempah di platform panggilan perjalanan (ride-hailing) di sini dibayar melalui kad atau kaedah tanpa tunai lain.

PTC bekerjasama dengan LTA untuk menyiasat kes mengelak tambang dalam perjalanan yang dikendalikan oleh pengendali teksi dan pengangkutan sewa berlesen.

Jika siasatan menunjukkan penumpang telah melakukan kesalahan mengelak tambang di bawah Seksyen 56 Akta PTC, majlis itu akan bekerjasama dengan LTA untuk mengambil tindakan undang-undang.

Pesalah perlu membayar jumlah komposisi $200 untuk kesalahan pertama, dan $400 untuk kesalahan kedua, selain tambang perjalanan, untuk dibayar balik kepada pemandu.

Mereka yang tidak membayar jumlah komposisi, pesalah berulang yang mengelak pembayaran tambang tiga kali atau lebih, atau mereka yang tidak memulangkan tambang yang dielakkan, akan didakwa di mahkamah.

Satu lagi isu yang mungkin dihadapi oleh pemandu teksi dan PHV ialah penumpang mengotorkan kenderaan mereka.

ComfortDelGro menyatakan bahawa dari 2021 hingga 2024, teksinya mengemukakan purata 19 hingga 38 tuntutan setiap tahun untuk kos pembersihan kenderaan akibat insiden penumpang muntah.

Grab, seperti kebanyakan platform, juga membayar balik pemandu untuk kes mengotori kenderaan sebaik sahaja ia menerima bukti foto dan resit pembersihan.

Grab menambah bahawa di samping yuran pembersihan, insiden seperti itu boleh memberi kesan ketara kepada mata pencarian pemandunya kerana pembersihan kenderaan yang kotor boleh mengambil masa beberapa jam – satu pembaziran waktu untuk pemandu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg