Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid martabatkan Muslimah sebagai ‘cahaya inspirasi’ dalam dakwah

Sep 5, 2025 | 5:30 AM
Kuliah harian di Masjid Alkaff Kampung Melayu terus mendapat sambutan, dengan kehadiran Muslimah yang gigih menimba ilmu dan memperkukuh ikatan ukhuwah.
Kuliah harian di Masjid Alkaff Kampung Melayu terus mendapat sambutan, dengan kehadiran Muslimah yang gigih menimba ilmu dan memperkukuh ikatan ukhuwah. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Sambutan Maulidur Rasul 2025 di Masjid Alkaff Kampung Melayu mengangkat tema, ‘Cahaya Kasih Rasulullah’ dengan memberi tumpuan kepada peranan Muslimah dalam menghidupkan semangat dakwah.

Acara gemilang ini bakal diadakan pada Sabtu, 6 September, bermula 10 pagi.

Antara pengisian utama ialah sesi perkongsian oleh Ustazah Syariati Sulaiman bertajuk, ‘Muslimah di Sisi Rasulullah: Cahaya Kasih Dakwah’.

Berdasarkan pandangan Pegawai Dakwah (MRO), Ustazah NurulHuda Muhammad Zulkiffli, dakwah merupakan tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap orang Islam, tidak kira lelaki ataupun wanita.

“Sesi ini bertujuan menyentuh hati Muslimah dengan mesej bahawa mereka bukan sekadar penyokong di belakang, bahkan penyampai risalah yang berjiwa besar, seperti Khadijah, Aisyah, dan Nusaybah ra.

“Dakwah mereka bukan dengan suara lantang, tetapi dengan kelembutan, hikmah, dan akhlak yang menyentuh jiwa,” jelas Ustazah NurulHuda.

Wanita Islam hari ini turut menghadapi cabaran yang tidak kurang hebatnya, termasuk pengaruh budaya Barat, gaya hidup bebas, dan arus teknologi yang melalaikan.

Justeru, mereka digalakkan agar menegakkan prinsip Islam dengan yakin, bijak memanfaatkan teknologi bagi tujuan dakwah, serta menjadi penyebar kasih dan hikmah dalam masyarakat.

Majlis ini turut memperkenalkan Dibaie Muslimah, sebuah ruang khas yang bertujuan memperkasa wanita supaya terus mengamalkan sunah dalam kehidupan harian.

Ustazah NurulHuda berkata sebagai usaha menyantuni kaum ibu, pihak masjid turut menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, atau child-minding, yang dikendalikan oleh golongan belia.

Khidmat itu terbuka kepada kanak-kanak berusia lima hingga lapan tahun, dengan pelbagai kegiatan interaktif dan bermanfaat disediakan.

Majlis turut dimeriahkan dengan gerai jualan kemasyarakatan serta jamuan percuma nasi beriani.

Daya usaha ini diharap dapat mengeratkan ukhuwah dan menyemarakkan semangat kebersamaan, lantas menjadikan sambutan Maulidur Rasul bukan sahaja sebagai wadah pengisian rohani, malah pengalaman masyarakat yang bermakna.

Masjid Alkaff Kampung Melayu juga kini rancak menjalankan kerja peningkatan, dan dijangka mengambil masa selama dua tahun. Maka, program secara dalam talian gigih dilaksanakan demi mendekati masyarakat Islam di sini.

“Pada masa ini, memandangkan ruang fizikal di masjid agak terhad disebabkan projek naik taraf yang sedang berjalan, kami telah mengambil pendekatan dengan melaksanakan program secara dalam talian.

“Langkah ini diambil kerana kami tidak mahu usaha dakwah dan pengisian rohani terhenti, apatah lagi menjadikan kerja naik taraf sebagai alasan atau hambatan untuk terus berbakti kepada masyarakat,” tambah Ustazah NurulHuda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg