Salah satu daripada tiga pemungut sisa awam di Singapura, Cora Environment, akan melabur $200 juta untuk meningkatkan keupayaannya dalam usaha mengitar semula dan memulihkan semula sumber daripada sisa.
Syarikat tersebut, yang sebelum ini dikenali sebagai Sembcorp Environment dan SembWaste, mengumumkan rancangan untuk melabur jumlah tersebut dalam tempoh lima tahun sebagai sebahagian usaha penjenamaan semula syarikat itu.
Perubahan perniagaan tersebut kelihatan pada lori pemungut sisa yang bertukar daripada Sembcorp berwarna putih kepada Cora Environment yang berwarna hijau.
Berucap pada majlis pelancaran usaha penjenamaan semula itu pada 11 September, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cora Environment, Encik Lee Kok Kin, berkata:
“Kami percaya bahawa sisa bukanlah titik akhir, tetapi satu permulaan, satu sumber dengan potensi yang belum diterokai yang boleh diubah menjadi nilai yang ingin kami pulihkan semula, atau apa yang kami sebut sebagai ‘R’ keempat.”
Amalan mesra alam dan pembuangan sampah yang menjadi kebiasaan kini dilakukan mengikut konsep ‘3R’ (Reduce, Reuse, Recycle) atau Kurangkan, Gunakan Semula, dan Kitar Semula.
Syarikat itu merancang menyalurkan jumlah pelaburan itu kepada sekitar 10 projek perintis, termasuk menukar abu daripada sisa yang dibakar menjadi pengganti pasir untuk projek penambakan tanah dan konkrit, lapor The Straits Times (ST).
Pada masa ini, Cora Environment mengumpul sisa dan bahan boleh dikitar semula daripada 450,000 isi rumah dan premis perniagaan di sektor City-Punggol dan Clementi-Bukit Merah, di bawah Skim Pungutan Sisa Awam kendalian Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Jumlah pelaburan tersebut juga akan menyokong pelancaran sebuah wadah digital pada Oktober bagi pelanggan komersial mendapatkan data masa nyata mengenai profil sisa dan bahan kitar semula masing-masing, kata Encik Lee.
Encik Lee, yang sebelum ini mengetuai SembWaste, berkata syarikat itu berhasrat melangkaui peranan mengangkut sisa dengan menawarkan huraian yang dapat mewujudkan satu ekosistem, di mana sisa dapat diuruskan secara mampan.
Menjelang akhir 2025, Cora Environment berharap dapat memperkenalkan 100 hab kitar semula dalam tong sampah di sekolah untuk membantu mengesan sisa, kata Encik Lee.
Hab tersebut dapat mengesan sisa yang dibuang di dalamnya agar sekolah boleh dimaklumkan bagaimana ia boleh memperbaiki lagi tabiat kitar semula itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg