Kumpulan Cordlife telah diberi penangguhan, berikutan notis Kementerian Kesihatan (MOH) pada 29 Ogos bahawa ia boleh menyambung semula beberapa perkhidmatan perbankan darah tali pusat dalam “cara terkawal” mulai 15 September.
Walaupun ini menandakan keadaan boleh kembali ke landasan yang betul, beberapa peletakan jawatan akan datang menunjukkan syarikat itu masih belum keluar daripada masalahnya - dan pelabur mungkin perlu cepat mencari jalan keluar.
Kaunter sahamnya dalam keadaan teruk sejak operasi Cordlife Singapore digantung enam bulan dan tidak dibenarkan mengumpul, memproses, menguji atau menyimpan unit darah tali pusat baru sejak Disember 2023.
Ini berlaku selepas tujuh daripada 22 tangki simpanannya ketika itu didapati telah terdedah kepada suhu melebihi had yang boleh diterima sejak November 2020, lapor The Business Times.
Kumpulan itu kemudiannya dikenakan penggantungan tambahan tiga bulan, berkuat kuasa 15 Jun 2024.
Secara keseluruhannya, operasi bank darah tali pusat swasta itu di Singapura tidak dapat mengumpul unit darah tali pusat baru selama sembilan bulan.
Penggantungan itu menyebabkannya mencatat kerugian bersih $12.4 juta untuk enam bulan berakhir 30 Jun.
Walaupun Cordlife mempunyai operasi serantau, seperti di Hong Kong dan India, operasi di Singapura menjana sebahagian besar pendapatannya.
Akibatnya, saham syarikat itu secara amnya mengalami penurunan dalam tempoh sembilan bulan ini.
Pada 30 November 2023, saham Cordlife ditutup pada S$0.455.
Pada 18 September, sahamnya berakhir pada $0.173. Pada hari yang sama, Cordlife didagangkan pada diskaun 62 peratus kepada nilai bukunya, berdasarkan data Bloomberg.
Ia mempunyai jumlah pulangan negatif 56.2 peratus sejak awal tahun, berbanding penanda aras Indeks Straits Times, yang memperoleh 16.2 peratus jumlah pulangan dalam tempoh yang sama.
Berikutan pembetulan yang dibuat di bawah bimbingan MOH, penggantungan Cordlife telah ditarik balik sebahagiannya.
Ia kini boleh mengumpul sehingga 30 unit darah tali pusat baru setiap bulan dari 15 September hingga 13 Januari 2025.
Cordlife juga mengumumkan pada 17 September bahawa ia telah meningkatkan sistem pemantauan makmalnya, mengambil lebih ramai kakitangan kanan, dan menambah baik prosesnya.
Kumpulan itu juga berkata ia telah mula menerima pendaftaran pelanggan baru.
Selepas berita itu, harga sahamnya melonjak 17.7 peratus kepada $0.173 pada 18 September.
Bagaimanapun, keyakinan itu dilemahkan oleh peletakan jawatan kakitangan utama.
Cordlife mengumumkan pada akhir Ogos bahawa pengarah kumpulan pembangunan jenamanya, Cik Woon Geok Peng, akan meletakkan jawatannya pada Oktober.
Cik Tan Huiying, pengarah kumpulan bagi mutu dan operasi, akan keluar pada November.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg