Topik diikuti
Pergi ke BHkuCPF kekal gred A bagi tahun kedua
CPF kekal gred A bagi tahun kedua
Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Singapura mengekalkan penarafan gred A bagi tahun kedua berturut-turut dalam penarafan tahunan sistem pencen global.
CPF merupakan sistem pencen pertama di Asia yang meraih gred A, dengan mata keseluruhannya meningkat daripada 80.8 pada 2025 kepada 82 dalam Indeks Pencen Global Marsh Institut CFA 2026.
Ia menerima gred B+ pada 2024.
Pada 2026, sistem keselamatan sosial Australia turut meraih penarafan gred A, dengan itu rantau Asia-Pasifik kini mempunyai dua sistem persaraan peringkat teratas.
Negara lain yang memperoleh penarafan tertinggi bagi sistem pencen masing-masing ialah Belanda, yang mencatatkan mata tertinggi iaitu 85.8, selain Denmark, Iceland dan Israel.
Marsh memberikan gred A kepada sistem pendapatan persaraan ‘kelas pertama’ yang berkesan, mampan, menawarkan faedah yang baik serta mempunyai tahap integriti tinggi.
Syarikat perkhidmatan profesional itu telah bekerjasama dengan Institut CFA, persatuan global bagi karyawan pelaburan, untuk menerbitkan indeks tahunan berkenaan sejak 2008.
Penarafan yang sebelum ini dikenali sebagai Indeks Pencen Global Mercer Institut CFA, telah dijenamakan semula pada 2026 selepas Mercer menggunakan jenama Marsh pada September sebagai sebahagian daripada penjenamaan semula korporat oleh syarikat induknya, Marsh McLennan.
Pada 2026, Indeks berkenaan meneliti kesan penurunan kadar kelahiran dan peningkatan jangka hayat terhadap 55 sistem pendapatan persaraan di seluruh dunia, berbanding 52 dalam Indeks 2025.
Kajian itu merangkumi sistem pencen bagi 66 peratus penduduk dunia, termasuk Amerika Syarikat, Britain, China, India, Korea Selatan dan Jepun.
Bagi mencerminkan tumpuan terhadap penduduk menua secara global, laporan itu menyesuaikan sub-indeks ‘Kecukupan’ untuk mengambil kira tahap pendapatan yang tersedia pada umur persaraan dan pada umur 80 tahun.
Langkah ini mengambil kira hakikat bahawa lebih ramai orang akan hidup melangkaui umur 80 hingga 90-an tahun, sekali gus memerlukan sokongan kewangan sepanjang tempoh persaraan yang panjang.
Sub-indeks ‘Kecukupan’ mengukur sama ada sesebuah sistem pencen menyediakan tahap pendapatan mencukupi bagi pesara untuk mengekalkan mutu kehidupan yang selesa.
Ia merupakan satu daripada tiga sub-indeks yang membentuk mata indeks keseluruhan sesebuah sistem pencen.
Mata ‘Kecukupan’ Singapura meningkat daripada 79.4 pada 2025 kepada 82.8 pada 2026, namun mata sub-indeks ‘Kemampanan’ negara merosot sedikit daripada 75.5 kepada 75.3.
Sub-indeks ‘Kemampanan’ menilai daya tahan jangka panjang sesebuah sistem pencen dan daya upayanya untuk memenuhi kewajipan pencen pada masa hadapan.
Sementara itu, sub-indeks ‘Integriti’ melengkapkan mata keseluruhan dengan mengukur tahap kepercayaan awam serta menilai sama ada sistem pencen berkenaan meraih keyakinan pencarum yang bergantung kepadanya.
Dari segi aspek ini, Singapura mengekalkan mata yang sama seperti 2025, iaitu 90.4.
Sejajar dengan trend penduduk menua global, Singapura menjadi masyarakat sangat tua pada Jun 2026, apabila 21.4 peratus daripadanya rakyatnya berusia 65 tahun atau lebih.
Menurut klasifikasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mana-mana negara dengan 21 peratus daripada penduduknya berusia 65 tahun ke atas dianggap sebagai masyarakat sangat tua.
Marsh menyatakan dalam laporannya bahawa penduduk yang semakin menua memberi tekanan berterusan kepada belanjawan pemerintah.
Pencen awam, terutamanya yang beroperasi atas dasar ‘bayar-ikut-keperluan’, tidak akan mampan kerana ia bergantung kepada cukai daripada tenaga kerja semasa untuk membiayai bayaran persaraan pesara hari ini.
Justeru, pemerintah sama ada perlu mengurangkan faedah persaraan atau menggalakkan penduduk mereka membuat simpanan awal bagi bayaran persaraan masa depan.