Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cuaca lebih panas dijangka pada separuh kedua Oktober

Oct 16, 2024 | 9:24 PM
Suhu maksimum harian diramalkan mencecah antara 33 hingga 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari.
Suhu maksimum harian diramalkan mencecah antara 33 hingga 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari. - Foto ST

Separuh kedua Oktober dijangka panas dan kurang lembap berbanding separuh pertama bulan itu, kata pakar cuaca.

Suhu maksimum harian diramalkan mencecah antara 33 hingga 34 darjah Celcius buat kebanyakan hari, dan ia mampu mencecah sekitar 35 darjah Celcius buat beberapa hari, kata Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) dalam satu panduan yang dikeluarkan pada 16 Oktober.

Hujan petir jangka pendek dijangka turun pada beberapa hari, di beberapa bahagian negara pada lewat pagi dan petang.

Pada beberapa hari, ribut Sumatera mungkin akan membawa hujan lebat beserta petir, dan angin kencang sebelum waktu subuh dan pagi, tambah MSS.

Namun, kurang hujan dijangka turun pada minggu terakhir Oktober, dengan hanya sedikit hujan pada beberapa hari.

Jumlah hujan bagi separuh kedua Oktober diramalkan di bawah purata, bagi kebanyakan kawasan serata negara. 

MSS berkata keadaan antara monsun, yang bermula pada awal Oktober, dijangka berterusan sehingga penghujung bulan itu. Angin yang bertiup dari tenggara atau barat daya akan kebanyakannya ringan dan berubah-ubah arah, bagi beberapa hari.

Pada dua minggu pertama Oktober, hujan petir turun pada lewat pagi dan petang pada kebanyakan hari, dengan hujan sangat lebat pada 14 Oktober disebabkan pertembungan angin serantau, lapor The Straits Times.

Kent Ridge merekodkan 145.8 milimeter hujan pada hari itu, menjadikan ia hujan harian tertinggi yang dicatatkan untuk separuh pertama Oktober. Kebanyakan kawasan Singapura menyaksikan taburan hujan melebihi purata pada tempoh tersebut.

Suhu maksimum harian kekal di bawah 34 darjah Celcius pada kebanyakan hari, dengan suhu tertinggi dicatatkan pada 34.1 darjah Celcius di Admiralty pada 3 Oktober.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg