Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rangka kerja tangani cuaca panas untuk pekerja disemak

Sep 6, 2024 | 6:41 PM
(Gambar hiasan) Dengan pemanasan global, pekerja yang bertugas di luar menghadapi risiko lebih tinggi mengalami tekanan haba dengan suhu yang meningkat di Singapura, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
(Gambar hiasan) Dengan pemanasan global, pekerja yang bertugas di luar menghadapi risiko lebih tinggi mengalami tekanan haba dengan suhu yang meningkat di Singapura, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM). - Foto ST

Pemerintah telah menyemak rangka kerjanya bagi menangani tekanan haba akibat cuaca panas supaya dapat memberi panduan dan perlindungan lebih baik kepada majikan dan pekerja yang bertugas di luar, di tengah-tengah suhu yang meningkat di Singapura.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam kenyataannya pada 6 September berkata rangka kerja bagi pekerja yang bertugas di luar itu telah disemak supaya ia selaras dengan Nasihat Tekanan Haba tiga peringkat bagi penduduk umum.

Di bawah rangka kerja disemak itu, langkah yang diperlukan dan disarankan untuk melindungi pekerja daripada tekanan haba dibahagikan kepada tiga kumpulan suhu yang berbeza – bawah 31 darjah Celsius; antara 31 dengan 33 darjah Celsius; dan 33 darjah Celsius dan ke atas.

Semakan itu dilakukan berdasarkan ukuran haba persekitaran Wet Bulb Globe Temperature (WBGT), yang mengambil kira kesan kelembapan, suhu udara, kelajuan angin dan radiasi suria.

Dilakukan dengan kerjasama industri dan rakan tiga pihak, MOM berkata semakan itu bertujuan memastikan pekerja yang bertugas di luar dilindungi secukupnya pada suhu yang berbeza-beza.

Ini sambil membenarkan fleksibiliti kepada majikan untuk menyesuaikan dan melaksanakan langkah berdasarkan keadaan tempatan mereka.

“Rangka kerja itu merangkumi langkah-langkah diperlukan yang penting dalam mengurangkan risiko tekanan haba, seperti penyesuaian haba, penghidratan secara kerap, pemantauan WBGT dan penyediaan waktu rehat mencukupi di bawah tempat teduh, yang perlu dilaksanakan.

“Terdapat juga amalan yang disarankan, seperti pemantauan dekat kesihatan pekerja dan penyediaan pengalihan udara, untuk dipertimbangkan oleh majikan pada kumpulan suhu WBGT yang berbeza-beza,” kata MOM.

Misalnya, apabila suhu berada pada bawah 31 darjah Celsius, majikan antara lain perlu mengingatkan pekerja untuk minum air secara kerap dan memastikan mereka mendapat rehat yang mencukupi di bawah tempat teduh.

Apabila suhu mencapai 32 darjah Celsius dan ke atas pula, majikan antara lain perlu menyediakan waktu rehat sekurang-kurangnya 10 minit setiap jam untuk kerja fizikal berat.

Jika suhu mencecah 33 darjah Celsius dan ke atas, waktu rehat itu dipanjangkan kepada sekurang-kurangnya 15 minit setiap jam untuk kerja fizikal berat.

MOM berkata dengan pemanasan global, suhu yang meningkat di Singapura akan meletakkan pekerja, terutama pekerja yang bertugas di luar, pada risiko tekanan haba lebih tinggi.

“Tidak seperti penduduk umum, pekerja yang bertugas di luar kurang kebebasan membuat keputusan tentang kegiatan kerja mereka, dan mungkin lebih terdedah kepada tekanan haba,” ujar kementerian itu.

Menulis di Facebook, Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Melvin Yong, berkata sedang suhu purata tahunan terus meningkat, kemungkinan pekerja mengalami tekanan haba juga akan terus bertambah.

Beliau menggesa semua majikan dengan kegiatan kerja di luar untuk memastikan pekerja dan penyelia mereka menjalani program latihan tekanan haba supaya dapat mengenali tanda penyakit berkaitan haba dan tahu melakukan pertolongan cemas yang wajar.

“Majikan juga harus ambil perhatian tentang punca penyakit berkaitan haba dan ambil langkah segera untuk mengurangkan risiko.

“Contohnya, pekerja lanjut usia dengan keadaan perubatan sedia ada mungkin berisiko lebih tinggi kerana sistem termoregulasi (proses mengekalkan suhu dalaman tubuh yang stabil meskipun jika cuaca atau suhu luaran berubah) mereka mungkin terjejas.

“Sesetengah ubat juga boleh menjejas keupayaan seseorang untuk bertindak terhadap tekanan haba secukupnya,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg