Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cuaca terik insafkan, buka mata jemaah haji S’pura di Arafah

Jun 21, 2024 | 7:38 PM
Encik Suhaimi Zainal (kanan) bergambar bersama isterinya, Cik Khamizah Khalik, selepas selesai melaksanakan tawaf pada 21 Jun.
Encik Suhaimi Zainal (kanan) bergambar bersama isterinya, Cik Khamizah Khalik, selepas selesai melaksanakan tawaf pada 21 Jun. - Foto ihsan SUHAIMI ZAINAL

Cuaca panas yang sering menjangkau 45 hingga 50 darjah Celsius di Arab Saudi membuka mata beberapa anggota jemaah haji dari Singapura.

Mereka insaf melihat keadaan jemaah lain yang memerlukan tempat teduh dan keperluan asas sewaktu di Arafah, sekali gus membuat mereka bersyukur dengan keadaan lebih selesa yang dinikmati jemaah Singapura di tanah suci.

Buat masa ini, rata-rata kesemua jemaah Singapura dikatakan dalam keadaan baik dan tidak terjejas teruk akibat panas terik.

Berkongsi pengalaman haji beliau kepada Berita Harian (BH), Encik Suhaimi Zainal, 56 tahun, berkata cuaca panas terik di Arafah agak mencabar buat mereka. 

“Sewaktu kami ingin melontar jamrah selepas subuh, kami sudah boleh merasai bahangnya, ia seperti sedang berada dalam enjin bas.

“Ketika kami berada dalam bas sewaktu perjalanan ke Arafah, kami lihat jemaah yang sedang berjalan di bawah panas terik matahari... terdapat beberapa individu yang membantu dengan memberikan air, jus, pisang dan menyediakan tisu buat jemaah itu. 

“Sungguh menyayat hati apabila melihat mereka. Rasa seperti hendak tumpangkan mereka menaiki bas kami,” jelas Encik Suhaimi.

Sentimen yang sama dikongsi Encik Abdul Hasim Abdul Hamid, seorang lagi anggota jemaah haji Singapura. 

“Ketika di Arafah, kami boleh lihat bagaimana jemaah dari negara lain, yang tidak mempunyai tempat berehat, berpusu-pusu, dengan peluh mereka, menuju ke kawasan Arafah yang lebih tinggi.

“Saya sungguh terharu, ia sangat berbeza dengan keadaan kami yang jauh lebih selesa ketika itu,” ujar Encik Abdul Hasim, 58 tahun, yang turut memuji keadaan di Arafah yang lebih selesa buat jemaah Singapura di mana mereka diberikan katil sofa di khemah mereka.

Beliau turut melahirkan kesyukuran dapat melaksanakan ibadah haji walaupun dengan cuaca yang mencabar.

“Walaupun bahang pada waktu malam tidak seteruk siang hari, kami masih rasa bahangnya.

“Saya ada beli sendiri kipas leher dan juga kipas yang menyembur air untuk menurunkan suhu badan. Penyembur kabus air dan air mineral percuma yang mudah didapati juga sangat membantu,” tambah beliau. 

Sokongan yang diberikan Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO) dan Kementerian Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi juga memudahkan urusan ibadah haji mereka.

Menurut Encik Suhaimi, SPAO memberikan pek haba dan botol air kepada jemaah.

Ini ditambah dengan keperluan yang dibawanya dari Singapura, seperti payung, topi, losyen serta kipas mudah alih yang dibelikan anak-anaknya.

Kementerian Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi juga menasihatkan jemaah supaya kekal di tempat penginapan mereka dan elakkan daripada keluar dari 11 pagi hingga 4 petang.

Ini agar kesejahteraan jemaah dapat dijaga dan dilindungi daripada tekanan haba akibat suhu tinggi.

Menurut Pengurus Umum Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, kesemua 220 anggota jemaah yang mengikuti Halijah Travels berada dalam keadaan baik, dan hanya mengalami penyakit biasa seperti batuk, demam, sakit tekak dan tumit merekah.

“Ini merupakan penyakit yang biasa jemaah hadapi setiap tahun. Kini, secara umumnya, keadaan jemaah adalah baik dan tiada yang mengalami serangan haba. Kami sering mengingatkan mereka supaya banyak minum air dan rehat secukupnya,” terang beliau.

“Disebabkan kepenatan selepas Arafah, kebanyakan daripada mereka akan mengalami sakit-sakit ini setelah selesai melakukan ibadah tersebut.”

Keadaan Jemaah di Arafah yang menyayat hati

“Ketika di Arafah, kami boleh lihat bagaimana jemaah dari negara lain, yang tidak mempunyai tempat berehat, berpusu-pusu, dengan peluh mereka, menuju ke kawasan Arafah yang lebih tinggi. Saya sungguh terharu, ia sangat berbeza dengan keadaan kami yang jauh lebih selesa ketika itu.”
Encik Abdul Hasim Abdul Hamid, anggota jemaah haji Singapura 2024.
Keadaan panas di Arab Saudi

“Sewaktu kami ingin melontar jamrah selepas subuh, kami sudah boleh merasai bahangnya, ia seperti sedang berada dalam enjin bas.”
Encik Suhaimi Zainal, anggota jemaah haji Singapura 2024.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg