Jemaah Singapura di Tanah Suci telah selesai menunaikan ibadah haji mereka.
Setakat ini, tiada jemaah yang terjejas teruk akibat cuaca panas terik, kata Ketua Delegasi Haji Singapura 2024 yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
Bagaimanapun beberapa warga Singapura dilaporkan demam dan sakit tekak, kata Dr Maliki kepada Berita Harian (BH).
Menurut laporan agensi berita AFP, angka kematian yang dilaporkan pada musim haji 2024 sudah melonjak melebihi 1,000 orang, dengan bilangan jemaah yang tidak berdaftar membentuk separuh daripada mereka yang meninggal dunia di sebalik cuaca panas.
Kematian terbaru yang dilaporkan termasuk 58 daripada Mesir, menurut seorang diplomat Arab yang memberikan perangkaan yang menunjukkan sejumlah 658 kematian daripada negara itu, dengan 630 kematian tidak didaftarkan.
Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), mengongsi keadaan di Arab Saudi dan menyatakan walaupun dengan cuaca terik, keadaan jemaah adalah baik dan mereka cuba menyesuaikan diri dengan cuaca panas itu.
Dr Maliki berkata, pihaknya giat menanyakan mengenai keadaan jemaah serta memberikan segala sokongan yang diperlukan.
“Secara keseluruhan, keadaan jemaah adalah sangat baik.”
“Kebanyakan daripada mereka sudah menyelesaikan ibadah haji mereka dan tetap bersemangat serta sedang menyesuaikan diri dengan cabaran cuaca panas,” ujar beliau yang melaporkan bahawa kebanyakan jemaah sudah mula menuju ke Madinah dan kumpulan pertama jemaah akan pulang ke Singapura pada 24 Jun.
Beliau juga menambah, terdapat penurunan dalam bilangan keperluan bantuan perubatan dan kes kemasukan ke hospital buat jemaah Singapura pada 2024 berbanding 2023.
Pada 2024, jumlah jemaah yang memerlukan bantuan rawatan perubatan, selepas wuquf di Arafah dan melontar jamrah di Mina, telah berkurangan sebanyak 50 peratus berbanding musim haji 2023.
Jumlah jemaah yang memerlukan bantuan menjelang akhir ibadah mereka telah berkurangan sebanyak 25 peratus manakala kes kemasukan ke hospital juga turun kepada 50 peratus.
“Penurunan yang ketara ini menunjukkan keberkesanan kepada pembaikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan jemaah haji kita yang semakin baik,” tambah Dr Maliki.
Sokongan daripada Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO) Muis, dengan kerjasama ejen penjualan pakej haji (GSA), telah memainkan peranan penting dalam perjalanan haji kali ini terutamanya dengan pengenalan model hibrid terbaru bagi perkhidmatan perubatan.
Menurut Dr Maliki, sistem hibrid ini akan memastikan rawatan perkhidmatan kedoktoran diberikan dengan sebaik mungkin buat jemaah Singapura.
“SPAO dan Muis telah mendapatkan perkhidmatan dari sekumpulan doktor di Arab Saudi, yang dianggotai seorang doktor, seorang farmasis dan seorang pegawai perkhidmatan kesihatan awam untuk bantu dalam keperluan perubatan jemaah.”
“Selain daripada perkhidmatan kumpulan doktor Arab Saudi, SPAO juga memperkenalkan sistem baru di mana setiap GSA harus mengenal pasti seorang pegawai kebajikan yang mempunyai latar belakang perubatan sama ada sebagai seorang doktor atau seorang jururawat yang ditugaskan untuk membantu jemaah yang kurang sihat,” tambahnya.
Dengan sistem ini, jemaah yang memerlukan khidmat rawatan boleh mendapatkan sokongan dengan berjumpa dengan pegawai kebajikan ini dan pegawai ini akan membawa mereka ke klinik SPAO atau ke hospital jika diperlukan.
Khidmat sebegini amat penting terutama sekali pada musim panas yang sedang dialami di Arab Saudi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg