Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Curahan kasih sayang warga S’pura buat kanak-kanak istimewa yang ditimpa tragedi

Allahyarham ditemui terapung di laut Taman East Coast selepas dilaporkan hilang
Aug 31, 2025 | 8:22 PM
Allahyarham Muhammad Hairil Muhammad Effendi 
Sekitar 200 orang, termasuk anggota keluarga dan orang awam, hadir semasa pengebumian Allahyarham Muhammad Hairil Muhammad Effendi di Pusara Aman yang diselubungi suasana hiba pada 31 Ogos. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Apabila berita tentang kehilangan Allahyarham Muhammad Hairil Muhammad Effendi mula diketahui orang ramai pada 29 Ogos, warga Singapura daripada pelbagai latar belakang menggembleng tenaga untuk menyebarkan butiran mengenainya di media sosial dan menyertai usaha mencari kanak-kanak itu.

Namun, pencarian itu berakhir dengan berita duka apabila polis menemui mayatnya di laut Taman East Coast pada malam 30 Ogos.

Pemergiannya menyatukan orang ramai sekali lagi, namun kali ini untuk memberi semangat dan menunjukkan sokongan buat keluarganya.

Curahan keprihatinan dan sokongan padu itu bukan sahaja disaksikan dalam talian.

Bahkan, sekitar 200 orang, termasuk anggota keluarga dan orang awam, hadir semasa pengebumian Allahyarham di Pusara Aman yang diselubungi suasana hiba pada 31 Ogos.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di kediamannya di Marine Crescent, bapa Allahyarham, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Fendi, berkata Allahyarham didiagnos dengan autisme dan merupakan salah seorang daripada sepasang kembar.

Sebelum jenazah Allahyarham dibawa ke Pusara Aman untuk dikebumikan, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut bertemu dengan anggota keluarga Allahyarham di rumah mayat Hospital Besar Singapura (SGH) untuk menyampaikan ucapan takziah.

Dr Faishal berkata beliau bersama seorang lagi AP di kawasan undi itu, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, telah menggerakkan rangkaian masyarakat Marine Parade-Braddell Heights untuk menyertai usaha pencarian Allahyarham apabila kanak-kanak itu dilaporkan hilang.

Usaha pencarian itu turut melibatkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan masjid, terutama yang terletak di kawasan Marine Parade.

Allahyarham sebelum ini dilaporkan hilang dan kali terakhir dilihat di kawasan Blok 29 Marine Crescent sekitar 11.05 pagi pada 29 Ogos.

“Keluarga Allahyarham menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas bantuan dan sokongan yang telah dihulurkan oleh semua pihak yang membantu – keluarga, rakan-rakan, jiran tetangga, sukarelawan, masjid-masjid dan pihak polis termasuk orang awam yang tidak mereka kenali.

“Saya juga sangat tersentuh dan terharu dengan curahan keprihatinan dan sokongan padu daripada rakyat Singapura. Ini mencerminkan sifat belas ihsan dan semangat gotong-royong yang mendalam yang menjadi tali pengikat kita semua sebagai rakyat Singapura,” ujar Dr Faishal.

Antara mereka yang hadir semasa pengebumian itu ialah Encik Muhammad Wafiq Hadee Anuwar, yang rasa tersentuh melihat masyarakat pelbagai bangsa dan agama turun padang mencari Allahyarham.

Tambahnya, beliau turut menyertai usaha itu, termasuk mencari kanak-kanak itu di kawasan Marine Terrace dan Taman East Coast.

“Semasa saya mencarinya, saya melihat ramai orang bersama keluarga dan rakan-rakan mencari Hairil dengan bersungguh-sungguh.

“Kami cari di kawasan semak, di mana Hairil mungkin tertidur ataupun ketakutan,” ujar eksekutif pemasaran itu yang pernah mengajar Allahyarham Hairil pada 2021 ketika anak itu menyertai Program Penjagaan Pelajar kendalian pusat pendidikan berkeperluan khas, My Inspiring Journey atau MIJ Hub.

Menerusi laman media sosial beliau pada 31 Ogos, Encik Goh berkata penduduk Marine Parade akan terus bersama keluarga Allahyarham dalam masa yang sukar ini.

“Kami akan melakukan apa sahaja yang kami boleh untuk menyokong mereka mengharungi tempoh sukar ini,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg