Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga, guru terkenang gelagat kanak-kanak istimewa yang ditemui mati selepas hilang

Aug 31, 2025 | 8:45 PM
Muhammad Hairil Muhammad Effendi
Allahyarham Muhammad Hairil Muhammad Effendi dilaporkan hilang pada 29 Ogos sebelum mayatnya ditemui di laut Taman East Coast pada 30 Ogos. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Siri animasi Upin & Ipin dan muzik merupakan antara kegemaran Allahyarham Muhammad Hairil Muhammad Effendi.

Bahkan menurut bapanya, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Fendi, inilah yang menjadi pengubat duka buat anak istimewa berusia 11 tahun itu apabila emosinya bercelaru.

Namun kini, semua itu tinggal kenangan setelah Allahyarham meninggal dunia.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di kediamannya di Marine Crescent, Encik Fendi mengesahkan bahawa Allahyarham merupakan salah seorang daripada sepasang kembar dan didiagnos dengan autisme.

“Di sekolah, kalau dia menangis, cikgu akan pasangkan lagu rok yang beliau suka dan dia akan dengan sendirinya jadi lebih tenang. Dia tiada lagu kegemaran khas,” ujarnya.

Beliau menambah, pasangan adik-beradik kembar itu merupakan murid di Sekolah Minds Towner Gardens, yang terletak di kawasan Kembangan.

Begitu juga kenangan yang dikongsi guru yang pernah mendidik Allahyarham di pusat pendidikan berkeperluan khas My Inspiring Journey, atau MIJ Hub, Cik Nur Fathah Lokman.

Ketika ditemui semasa pengebumian Allahyarham di Pusara Aman, Cik Nur Fathah berkata beliau masih terkenang wajah kanak-kanak itu yang tidak lokek senyuman.

“Sungguhpun tidak boleh bercakap, namun interaksi Allahyarham bersama adiknya, rakan-rakannya... dia suka lontarkan senyuman (kepada semua),” ujar beliau, sambil menambah, kanak-kanak itu merupakan muridnya dari 2021 hingga 2023 dalam program penjagaan pelajar.

Apabila berita kehilangan Allahyarham tular di media sosial pada 29 Ogos, beliau rasa amat terkesan.

Allahyarham dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kawasan Blok 29 Marine Crescent, yang terletak dekat Taman East Coast, sekitar 11 pagi.

Polis menemui mayat kanak-kanak itu terapung di laut Taman East Coast pada malam 30 Ogos.

Sepanjang lebih 24 jam Allahyarham hilang, ramai individu daripada segenap lapisan masyarakat tampil membantu mencari Allahyarham dan memberi sokongan serta kata semangat kepada keluarganya.

Encik Fendi akur akan usaha masyarakat itu, namun memohon agar orang ramai berhenti menyebarkan maklumat tidak tepat atau berkongsi gambar atau video anaknya.

Sementara itu, ibu Allahyarham, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Ain, berkata ketika kejadian, pintu rumah tidak dikunci.

Apabila mereka sedar Allahyarham tidak berada di rumah sekitar 11 pagi, mereka menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jiran bersebelahan, yang mengesahkan Allahyarham telah keluar dari rumah.

Selepas itu, mereka memulakan pencarian bagi Allahyarham.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg