Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Daripada cuti biasa kepada ibadah bermakna 

Ketua Dakwah Masjid Alkaff Kampung Melayu saran nikmati detik indah bersama keluarga tersayang semasa bercuti
Nov 22, 2025 | 5:30 AM
Percutian bukan sekadar pilihan destinasi, tetapi detik indah bersama insan tersayang. Ustaz Sheikh Umar Abdul Aziz (kanan) bersama keluarga ketika bercuti pada 2024.
Percutian bukan sekadar pilihan destinasi, tetapi detik indah bersama insan tersayang. Ustaz Sheikh Umar Abdul Aziz (kanan) bersama keluarga ketika bercuti pada 2024. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Pejam celik, pejam celik, kita sudah pun menghampiri penghujung tahun 2025.

Masa berlalu begitu pantas, dan tanpa disedari, ramai antara kita sudah mula merancang percutian hujung tahun. Inilah waktunya untuk berehat seketika bersama keluarga dan insan tersayang.

Namun, tahukah anda bahawa makan angin juga boleh menjadi satu bentuk ibadah? Ya, benar. Asalkan niatnya betul dan langkahnya membawa kepada kebaikan.

Percutian bukan sekadar melegakan keletihan jasmani, bahkan peluang untuk menyuburkan iman, mengukuhkan kasih sayang keluarga, dan menghargai keindahan ciptaan Allah swt di sekeliling kita.

Ketika kita mengembara, kita belajar mensyukuri nikmat, memahami budaya berbeza, dan menyedari betapa luasnya rahmat Ilahi. Pada masa yang sama, kita memperbaiki emosi, menguatkan hubungan, dan memberi ruang untuk refleksi diri.

Ada saat paling bermakna dalam hidup hadir ketika kita berada jauh daripada kesibukan, dekat dengan orang tersayang, dan dekat dengan Sang Pencipta.

Jadi, apabila anda merancang percutian hujung tahun ini, rencanakan juga niat yang baik: untuk rehat, untuk mensyukuri nikmat, untuk mendekatkan hati-hati yang kita sayangi, dan untuk mengisi jiwa dengan ketenangan.

Kembara yang membawa berkat

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Al-Bukhari, Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan bergantung pada niat.”

Apabila kita berniat untuk menggembirakan keluarga, mensyukuri keindahan ciptaan Allah, serta menyegarkan hati dan jiwa agar dapat kembali beribadah dengan lebih fokus, seluruh perjalanan itu berubah menjadi satu bentuk ibadah.

Percutian bukan lagi sekadar rehat, tetapi peluang untuk mengeratkan kasih sayang dan memperbaharui syukur kita terhadap nikmat hidup.

Bahkan perkara-perkara kecil, seperti menenangkan anak yang gelisah di dalam pesawat, memujuk pasangan yang keletihan, atau bersabar ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya, juga menjadi sumber pahala, kerana semuanya dilakukan dengan niat yang baik dan hati yang ikhlas.

Cuti yang menyatukan hati

Percutian bukan sekadar tentang keindahan destinasi, bahkan tentang siapa yang bersama kita menghayatinya. Nabi saw pernah bersabda: “Sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya.” Inilah pengingat bahawa saat-saat sederhana bersama insan tersayang jauh lebih bernilai daripada pemandangan terindah sekalipun.

Kurangkan masa menatap skrin, lebihkan masa berbicara dari hati ke hati. Bergurau dengan anak-anak, mendengar cerita mereka, atau sekadar berjalan sambil berpegangan tangan, semuanya kelihatan remeh, namun di situlah terjalin kasih, amanah dan rahmah. Detik kecil seperti ketawa serentak, berkongsi satu hidangan, atau berhenti menikmati angin petang, sebenarnya menjadi memori yang anak-anak akan simpan selamanya.

Cuti yang barakah bukan diukur dengan bajet besar atau aturcara yang padat, tetapi dengan ketenangan yang menyapa jiwa, senyuman yang kembali mekar, dan hubungan keluarga yang pulang lebih rapat daripada sebelumnya. Itulah hakikat rehat yang sebenar. Rehat yang menyatukan hati serta mendekatkan kita kepada Allah dan sesama keluarga.

Sambil cuti, sambil tadabbur

Berjalan jauh bukan sekadar berpindah dari satu tempat ke tempat lain bahkan ia membuka ruang untuk melihat dunia dengan mata hati. Gunung yang tegak, laut yang luas dan langit yang terbentang bukan hanya panorama yang indah, tetapi ayat-ayat alam yang mengingatkan kita kepada kebesaran Allah.

Firman Allah: “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi serta pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal.” (Ali ‘Imran: 190)

Gunakan masa perjalanan untuk bertanya pada anak-anak, “Siapa ciptakan awan ini?” atau “Siapa ciptakan laut?” Soalan kecil seperti itu secara tidak langsung menanam akidah murni dalam hati mereka.

Setiap kilometer yang ditempuh dengan zikir, doa dan rasa syukur adalah langkah yang menambah nilai di sisi Allah. Jadikan percutian bukan sekadar waktu rehat, malah sesi recharge (segarkan) minda, rohani, dan jasmani. Juga saat untuk kita memperbaharui niat, menenangkan jiwa, serta mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.

Percutian itu mungkin hanya seketika, namun manfaatnya mampu mengalir dan menguatkan jiwa sepanjang tahun.

Moga setiap langkah perjalanan anda menjadi rehat yang diberkati, menghidupkan hati, menyegarkan fikiran, dan menghadirkan pengalaman indah untuk seluruh keluarga anda.

Penulis merupakan Ketua Dakwah, di Masjid Alkaff Kampung Mealyu dan Naib Kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).

SEKILAS

Cara menderma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:

1. Khidmat Pungutan Derma Dari Rumah. Sila hubungi pejabat masjid di talian 6242-7244 untuk janji temu.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ dan e-mel screenshot, atau tangkap layar, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg

3. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

4. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘MUP MAKM’ di bahagian ‘Rujukan’.

5. Langsung ke pejabat masjid. Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Hari Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg