Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketahanan emosi sepenting persiapan rohani sebelum tunai umrah

Umrah bukan percutian santai tetapi perjalanan cari keredaan dan pengampunan Allah
Nov 14, 2025 | 5:30 AM
Kursus Praumrah pada 2024 dikendalikan oleh Ustaz Haron Hassan Akhtar (paling depan) memberi bimbingan lengkap dan praktikal untuk persiapan rohani serta kefahaman ibadah umrah yang sempurna.
Kursus Praumrah pada 2024 dikendalikan oleh Ustaz Haron Hassan Akhtar (paling depan) memberi bimbingan lengkap dan praktikal untuk persiapan rohani serta kefahaman ibadah umrah yang sempurna. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Umrah bukan sekadar perjalanan ibadah yang memerlukan kekuatan fizikal dan pengetahuan tentang rukun serta syaratnya. Lebih daripada itu, umrah adalah perjalanan hati dan jiwa menuju Allah swt.

Justeru, menurut penulis, persiapan kerohanian menjadi aspek utama yang perlu diberi perhatian sebelum berangkat ke tanah suci.

Ramai jemaah memberi tumpuan kepada persiapan seperti pakaian, dokumen dan jadual perjalanan.

Namun, persediaan yang tidak kurang penting ialah membentuk hati yang tenang, akhlak yang baik dan kesediaan emosi untuk menghadapi suasana yang mungkin mencabar.

Di Makkah dan Madinah, jemaah akan berdepan dengan lautan manusia dari pelbagai bangsa dan budaya.

Dalam keadaan sedemikian, sikap sabar, berlembut, menjaga tutur kata serta saling menghormati sangat dituntut oleh agama.

Perkara-perkara kecil seperti tidak berebut, memberi laluan, mengelakkan kata-kata yang menyakitkan, dan memperbanyakkan senyuman adalah amalan yang dapat memelihara kesucian ibadah.

Latihan menjaga adab ini boleh dimulakan lebih awal dengan membiasakan diri dengan berzikir, mengurangkan keluhan dan memaafkan kesalahan orang lain.

Selain itu, ketahanan emosi turut memainkan peranan penting.

Perubahan cuaca, kepenatan serta ragam manusia boleh menjadi ujian sepanjang ibadah.

Antara amalan yang dapat menenangkan jiwa ialah memperbanyakkan istighfar dan berdoa, di samping membetulkan jangkaan.

Secara lazim, umrah bukan percutian santai, tetapi perjalanan mencari keredaan dan pengampunan Allah.

Dengan hati yang reda, setiap cabaran akan dihadapi dengan penuh kesabaran dan ketenangan.

Sebagai usaha mempersiapkan jemaah dari aspek kerohanian dan praktikal, Masjid Alkaff Kampung Melayu menganjurkan Kursus Praumrah yang merangkumi bimbingan ibadah, adab, persediaan mental dan panduan perjalanan.

Kursus ini terbuka kepada semua bakal jemaah serta mereka yang ingin mendalami kefahaman tentang Umrah.

Dalam masa yang sama, Masjid Alkaff Kampung Melayu, melalui kerjasama dengan syarikat AK Tours & Travels Pte Ltd, turut menganjurkan ‘Program Umrah 12 Hari’ yang menekankan bimbingan ibadah, persiapan rohani dan pengalaman perjalanan yang tersusun.

Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada sokongan berterusan terhadap projek naik taraf Masjid Alkaff Kampung Melayu, ke arah menyediakan kemudahan dan layanan yang lebih selesa serta berkualiti kepada para jemaah.

Sebarang pertanyaan atau pendaftaran boleh dibuat secara langsung di pejabat masjid.

Sebagai penutup, pihak masjid dengan penuh rasa syukur dan rendah hati ingin menyampaikan harapan agar setiap jemaah yang berangkat menunaikan ibadah dapat melangkah dengan hati yang bersih, niat yang tulus, serta semangat yang diperbaharui untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.

Mudah-mudahan setiap langkah dan amalan diberkati, serta perjalanan rohani ini menjadi pemangkin kepada perubahan diri ke arah kebaikan dan ketakwaan yang lebih mendalam.

Pihak masjid juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh masyarakat yang tidak putus-putus memberikan sokongan terhadap usaha masjid dalam memperkasa ilmu, memperkukuh pembangunan rohani, serta menjayakan pelbagai program bimbingan dan kebajikan di Masjid Alkaff Kampung Melayu.

Sesungguhnya, kerjasama dan sumbangan berterusan daripada para jemaah dan masyarakat inilah yang menjadi tunjang kepada keberkatan dan kemajuan institusi masjid dalam mendidik ummah.

Semoga segala usaha ini diberkati Allah swt dan menjadi sebab kepada bertambahnya kebaikan dalam diri dan komuniti. Masjid Alkaff Kampung Melayu ini berkembang kerana doa, sokongan dan kehadiran anda semua.

Penulis merupakan Pegawai Eksekutif di Masjid Alkaff Kampung Melayu

SEKILAS

Cara-cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:

Pindahan bank OCBC: 581-608668-001

Sila nyatakan “Dana Peningkatan” di bahagian “Rujukan.” dan e-mel tangkap layar atau ‘screenshot’ transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

Hantarkan cek anda kepada: LPM ALKAFF KG MELAYU

Sila nyatakan “Dana Peningkatan”, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian cek tersebut dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

Paynow UEN : S94MQ0017D

Sila nyatakan “Dana Peningkatan” di bahagian “Rujukan.”

Langsung ke Pejabat Masjid dari hari Isnin hingga Khamis: 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.

Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.

Ikutlahlah Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu .

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg