Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerja naik taraf tidak jejas kegiatan masjid 

Aktiviti Masjid Alkaff Kampung Melayu terus berjalan dengan langkah pastikan keselamatan, kelancaran ibadah serta pembelajaran
May 16, 2025 | 5:30 AM
masjid alkaff kampung melayu, naik taraf, masjid
Seorang pekerja menjalankan kerja naik taraf di ruang legar Masjid Alkaff Kampung Melayu. - Foto-foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Masjid Alkaff Kampung Melayu telah memulakan kerja naik taraf masjid (MUP). Beberapa kawasan masjid di Bedok Reservoir Road ini telah ditutup dan diambil alih oleh kontraktor pada 28 April bagi kerja peningkatan ini

Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran ibadah serta pembelajaran, pihak masjid sedang giat menyiapkan ruang-ruang sementara bagi menggantikan lokasi asal yang terjejas. Beberapa perubahan lokasi juga sedang dalam proses penyesuaian. Walaupun ruang semakin terhad, pihak masjid ingin meyakinkan jemaah bahawa aktiviti harian seperti solat berjemaah, kuliah dan kelas agama tetap diteruskan seperti biasa.

Untuk menderma, sila imbas kod QR ini.
Untuk menderma, sila imbas kod QR ini. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Eksekutif Pemasaran dan Perhubungan Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustazah Nursakina Khalida Osman, berkata: “Laluan ke dewan solat utama kini dialihkan ke sebelah kiri masjid. Ruang-ruang sementara sedang disiapkan dan beberapa perubahan lokasi masih dalam proses penyesuaian. Walaupun ruang semakin terhad, pihak masjid ingin meyakinkan jemaah bahawa aktiviti harian seperti solat berjemaah, kuliah dan kelas agama tetap diteruskan seperti biasa dengan beberapa penyesuaian lokasi.”

Sebagai langkah keselamatan, laluan ke dewan solat utama kini diubah. Papan tanda telah dipasang bagi memudahkan pergerakan jemaah. Jemaah dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif seperti yang tertera pada papan tanda. Pihak masjid juga telah menempatkan petugas bagi membantu jemaah menyesuaikan diri dengan laluan baru ini.

“Bagi memberi ruang kepada kelas-kelas tersebut, jemaah Muslimah digalak menunaikan solat di aras satu masjid sepanjang tempoh ini. Penyesuaian ini dibuat agar pengurusan ruang dapat dilaksana dengan lebih teratur tanpa mengganggu kelangsungan program pendidikan sedia ada,” ujar Ustazah Nursakina.

Kuliah Muslimah, yang sebelum ini dijalankan di ruang serba guna masjid, telah dipindahkan ke sayap kiri dewan solat utama. Lokasi baru ini dipilih bagi memastikan keselesaan dan kesinambungan kuliah meskipun dalam suasana masjid yang sedang dinaik taraf. Segala usaha ini dibuat agar perjalanan pengajian ilmu agama tetap berterusan walaupun dalam suasana mencabar.

Mulai 9 Mei, dua sesi solat Jumaat diadakan di Masjid Alkaff Kampung Melayu pada setiap minggu untuk menampung jumlah jemaah yang lebih kecil disebabkan kerja naik taraf yang sedang dijalankan. Ini demi memastikan jemaah dapat menunaikan solat dengan selesa dan selamat.

Ustazah Sakina berkata: “Pihak masjid juga menggalak jemaah mengambil wuduk di rumah atau sebelum datang ke masjid, bagi mengelakkan kesesakan di ruang wuduk. Bagi jemaah yang memerlukan kerusi untuk solat, mereka amat digalak membawa kerusi lipat sendiri memandangkan jumlah kerusi yang disediakan terhad.”

Warga kerja Masjid Alkaff Kampung Melayu amat menghargai kesabaran dan sokongan jemaah dalam tempoh ini. Fasa ini adalah satu permulaan bagi mewujudkan sebuah masjid yang lebih selesa, mesra jemaah dan memenuhi keperluan generasi masa hadapan.

“Pihak masjid akan terus memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi dan media sosial.

“Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada kaunter khidmat pelanggan di aras satu atau dengan menghubungi pihak masjid,” tambah Ustazah Sakina.

SEKILAS

DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:

1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ dan e-mel tangkap layar (screenshot) transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

2. Hantar cek anda atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila tulis ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Pergi ke pejabat masjid antara Isnin hingga Khamis pada waktu operasi antara 9 pagi hingga 5.30 petang, atau pada Jumaat antara 9 pagi hingga 5 petang.

Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg