Tempoh cuti paterniti di Singapura yang agak singkat, ditambah dengan norma patriarki yang berlarutan serta amalan keibubapaan yang masih lebih membebani kaum Hawa, mungkin menjadi punca mengapa perubahan dasar di sini masih belum membawa anjakan bermakna dalam peranan bapa sebagai penjaga mahupun keputusan berkaitan kesuburan.

Menurut satu kajian terkini, perubahan yang lebih kukuh amat diperlukan demi membawa kesan nyata.

Ini termasuk tempoh cuti lebih panjang, pengaturan kerja fleksibel, serta anjakan budaya lebih luas ke arah perkongsian tanggungjawab keibubapaan.

Kajian tersebut menggunakan data perwakilan nasional daripada SG-LEADS, iaitu sebuah kajian jangka panjang berskala besar yang menjejaki perkembangan kanak-kanak di Singapura.

Dapatan kajian itu merupakan antara beberapa kertas kerja yang dibentangkan di Persidangan Tahunan Persatuan Penduduk Singapura (PAS) 2026.

Persidangan dua hari itu dianjurkan bersama oleh Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura (NUS Medicine) dan PAS.

Kajian yang dipimpin Profesor Jean Yeung Wei-Jun, daripada Jabatan Pediatrik di NUS Medicine itu mendapati cuti paterniti yang diambil golongan bapa di Singapura tidak menunjukkan kemungkinan bertambah keupayaan mempunyai anak kedua atau ketiga.

Ini berbeza dengan dapatan dari negara Nordik (negara yang terletak di Eropah Utara dan Atlantik Utara, dan merupakan wilayah geografi dan budaya, yang terdiri daripada lima negara dan tiga wilayah autonomi).

Ini termasuk Denmark, Finland, Iceland, Norway dan Sweden.

Kajian itu juga menunjukkan tempoh cuti paterniti Singapura yang agak singkat berbanding negara Nordik tersebut, digabungkan dengan norma patriarki yang berterusan dan amalan keibubapaan yang sangat berlandaskan jantina, mungkin menjelaskan mengapa perubahan dasar di Singapura masih belum membawa pada perubahan bermakna dalam peranan penjagaan bapa atau keputusan kesuburan.

Perubahan yang lebih ketara – termasuk cuti lebih lama, pengaturan kerja fleksibel dan peralihan budaya yang lebih luas ke arah keibubapaan bersama – akan diperlukan.

Profesor Yeung berkata: “Memandangkan masyarakat mempunyai jumlah anak yang lebih berkurangan, pembangunan manusia merentasi keseluruhan perjalanan hidup menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

“Kekuatan jangka panjang masyarakat bukan sahaja bergantung pada saiz penduduk, malah pada kesejahteraan, keupayaan dan keterhubungan manusia merentasi generasi.

“Masyarakat yang menyokong kesihatan yang baik, keselamatan ekonomi, penjagaan yang berpatutan, kesaksamaan jantina, keseimbangan kerja-kehidupan, umur panjang yang sihat, rangkuman sosial dan peluang, merentasi perjalanan hidup lebih cenderung mewujudkan persekitaran dengan individu rasa ada harapan berharap tentang masa depan dan yakin dalam membentuk sebuah keluarga.”

Susulan persidangan itu, NUS Medicine dan PAS akan menghasilkan Kertas Putih bersama mengenai kesuburan dan pembangunan manusia, berdasarkan penyelidikan dan perbincangan untuk mengesyorkan langkah penggubalan dasar.

Ini merupakan kali pertama kedua-dua pertubuhan mengusahakan kertas kerja sedemikian.

Ia berkemungkinan merangkumi pandangan tentang halangan perkahwinan dan keibubapaan, dan keberkesanan campur tangan dasar di seluruh Asia, Eropah dan negara lain.

Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) penduduk Singapura jatuh ke paras terendah dalam sejarah – dan antara yang terendah di dunia – iaitu 0.87 pada 2025, mendorong perdebatan awam yang diperbaharui dan pembentukan kumpulan kerja.

Sementara itu, Dekan NUS Medicine dan Ketua Pegawai Klinikal di Institut Pembangunan dan Potensi Manusia A*Star (A*Star IHDP), Profesor Chong Yap Seng, menambah pembentukan keluarga juga harus difahami dari segi kesihatan jangka panjang.

“Pembentukan keluarga bukan sekadar matlamat demografi; ia juga boleh dilihat sebagai laluan kepada umur panjang yang sihat.

“Bolehkah kita membingkai semula perkahwinan dan keibubapaan bukan sahaja sebagai tuntutan demografi, tetapi sebagai pemacu umur panjang yang sihat?

“Bukti yang ada menunjukkan perkongsian hidup yang stabil dan individu yang tinggal bersama ada kaitan dengan umur lebih panjang.

“Hubungan antara perkahwinan dengan umur panjang adalah kukuh, merentasi lebih 140 tahun penyelidikan merentasi pelbagai negara... Ini adalah sama untuk keibubapaan,” katanya.