Pemberian lebih banyak sokongan kewangan kepada ibu bapa bagi tempoh selepas tujuh tahun pertama usia anak serta penambahbaikan cuti berkaitan penjagaan anak merupakan antara cadangan yang akan dikemukakan oleh Sayap Wanita Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk pertimbangan pemerintah.

Langkah ini menyusuli beberapa sesi libat urus awam yang telah diadakan oleh kumpulan tersebut sejak Mei, sebagai usaha mengumpul maklum balas mengenai cara Singapura boleh menyokong institusi perkahwinan dan keibubapaan.

Isu-isu berkaitan kos, masa dan kesihatan sering dibangkitkan dalam lima sesi terdahulu yang dihadiri oleh lebih 500 peserta –t ermasuk golongan lelaki dan wanita – kata Naib Pengerusi Sayap Wanita PAP, Cik Gan Siow Huang, semasa sesi keenam yang berlangsung pada 26 Julai di pusat beli-belah Junction 8.

“Kami sedar bahawa kos penjagaan kanak-kanak boleh menjadi satu cabaran besar bagi keluarga yang mempunyai anak kecil, oleh itu, kami berharap agar pembayaran tunai dan bantuan kewangan seperti skim Bonus Bayi dapat dilanjutkan melebihi tempoh tujuh tahun pertama kehidupan kanak-kanak – mungkin sehingga mereka mencecah usia remaja,” kata Cik Gan, sambil menambah bahawa langkah ini dapat membantu mencerminkan serta menampung kos membesarkan anak pada masa kini dengan lebih baik.

Kumpulan tersebut juga merancang untuk menggesa agar bantuan kewangan seperti skim Bonus Bayi diperluaskan kepada ibu bapa tunggal yang tidak berkahwin di Singapura, serta meminta pemerintah mengurangkan kos yang perlu ditanggung sendiri oleh ibu bapa bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan bayi.

“Walaupun terdapat subsidi untuk pusat-pusat pengendali utama, kami sedar bahawa bagi isi rumah berpendapatan sederhana, kos tunai yang perlu mereka tanggung sendiri untuk penjagaan kanak-kanak dan bayi boleh menjadi agak tinggi,” ujar Cik Gan, yang juga merupakan Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan).

Satu lagi kebimbangan ibu bapa ialah sama ada mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk menguruskan keluarga di samping kerjaya mereka, kata Cik Gan, sambil menambah bahawa mereka yang mempunyai lebih ramai anak dan anak yang lebih besar biasanya tidak mempunyai cuti penjagaan anak yang mencukupi.

“Kami berharap lebih banyak usaha dapat dilakukan untuk menambah baik kemudahan cuti berkaitan anak bagi ibu bapa yang bekerja,” tambahnya.

Majikan juga menanggung kos apabila mereka menyediakan cuti berkaitan anak untuk pekerja mereka.

Beliau menambah bahawa pemerintah boleh melakukan lebih banyak lagi untuk menyokong majikan dalam aspek ini, supaya mereka dapat memberikan sokongan yang lebih baik kepada pekerja mereka.

Menurut Cik Gan, ramai ibu bapa yang bekerja turut menyuarakan kebimbangan mengenai tanggapan rakan sekerja dan ketua terhadap mereka apabila mereka perlu mengambil cuti bagi menguruskan hal ehwal keluarga.

Harapannya ialah lama-kelamaan, Singapura akan mempunyai lebih banyak tempat kerja yang mesra keluarga, agar ibu bapa yang bekerja dapat berasa lebih tenang dan yakin dalam mengimbangi tuntutan kerja serta komitmen keluarga.

Sayap Wanita PAP juga akan menggesa pemerintah supaya mengurangkan kos pemeriksaan dan rawatan kesuburan, kata Cik Gan. Langkah ini diambil memandangkan rakyat Singapura semakin cenderung untuk berkahwin pada usia yang lebih lewat, dan semakin ramai pasangan memerlukan bantuan perubatan untuk mendapatkan zuriat.

Sesi pendengaran pada 26 Julai yang bertajuk Menjadikannya Berhasil, telah menarik kehadiran kira-kira 120 orang, termasuk keluarga, yang berkongsi pandangan serta menyertai aktiviti sampingan seperti seni membentuk belon dan lukisan muka.

Cadangan daripada Sayap Wanita PAP itu – yang dirangka berdasarkan sesi libat urus awam yang akan berlangsung sehingga November – akan dikemukakan kepada Kumpulan Kerja Antara Agensi bagi Semakan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan menjelang awal 2027.

Kumpulan kerja tersebut, yang dipengerusikan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri Cik Indranee Rajah, telah diumumkan semasa perbahasan Belanjawan pada Februari selepas kadar kesuburan keseluruhan Singapura jatuh ke paras terendah dalam sejarah, iaitu 0.87, pada 2025.