Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata keutamaan yang diberi sejurus selepas Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, meletak jawatan politik, adalah untuk memastikan penduduk terus menerima sokongan yang diperlukan.

Ini di samping memastikan program masyarakat tetap berjalan tanpa gangguan.

Dalam responsnya kepada Berita Harian (BH) pada 26 Julai, Encik Zaqy berkata, beliau berhasrat bertemu dengan lebih ramai penduduk dan rakan kongsi masyarakat.

Beliau juga ingin mendengar pandangan mereka serta berkongsi lebih lanjut dalam minggu-minggu mendatang mengenai usaha meneruskan asas kukuh yang telah dibina.

“Keutamaan serta-merta kami adalah untuk memastikan penduduk terus menerima sokongan yang diperlukan, dan program masyarakat berjalan tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Pada 26 Julai, Encik Zaqy mengunjungi Pasar Geylang Serai bersama Speaker Parlimen yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade–Braddell Heights, Encik Seah Kian Peng; AP GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim; dan AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Encik Zaqy berkata Encik Seah akan bertemu dengan anggota masyarakat dalam minggu akan datang bagi membincangkan isu kemerosotan bilangan pengunjung di pasar tersebut.

Dalam masa yang sama, Encik Zaqy, yang mengambil alih tugas sebagai pemangku menteri pada 20 Julai, turut memberi jaminan akan meneruskan usaha Dr Faishal sebelum ini.

Dr Faishal, yang memegang jawatan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam sejak Mei 2025 selama 14 bulan, telah meletak jawatan sebagai penjawat politik dan AP pada 20 Julai susulan interaksi yang tidak wajar dengan seorang wanita dalam talian.

Bercakap kepada BH, Encik Zaqy, berkata:

“Sejak beberapa hari lalu, satu mesej jelas terserlah. Masyarakat menghargai pemimpin yang sentiasa ada, yang turun padang, mendengar dengan ikhlas, serta mendampingi orang ramai bukan sahaja di majlis rasmi, bahkan juga menerusi perbualan harian. Ini juga adalah sesuatu yang saya juga percaya.”

Maka itu, Encik Zaqy menambah, beliau bersama Encik Seah, AP, pemimpin masyarakat, sukarelawan dan rakan kongsi, akan terus bekerjasama rapat dengan penduduk untuk memperkukuh usaha yang telah dilaksanakan serta memastikan ia sesuai mengikut keperluan dan aspirasi masyarakat.

Encik Zaqy kini berhasrat meningkatkan prestasi Pasar Geylang Serai sebagai langkah meluaskan dan memperkukuh penglibatan bersama masyarakat Melayu/Islam, sekali gus meneruskan usaha pendahulunya, Dr Faishal.

Ketika lawatannya itu, Encik Zaqy menyifatkan Pusat Penjaja dan Pasar Geylang Serai sebagai pusat tumpuan masyarakat Melayu/Islam.

Justeru, adalah penting untuk “kita terus mewujudkan kerancakan dan program, serta sudah semestinya terus mendampingi mereka di sini, di mana mereka berkumpul setiap hujung minggu”, tambahnya.

Beliau mendapati peniaga dan penduduk khuatir akan kemerosotan bilangan pengunjung di Pasar Geylang Serai, dan banyak lagi boleh dilakukan oleh pemerintah untuk meningkatkan kerancakan kawasan tersebut.

Menurut Encik Zaqy, ramai dalam kalangan masyarakat berkata bahawa penurunan itu berpunca daripada keadaan ekonomi.

Encik Seah, yang juga AP bagi kawasan di mana pasar itu terletak, akan bertemu dengan anggota masyarakat pada minggu akan datang bagi membincangkan isu berkenaan, kata Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan).

Ketika berada di Pasar Geylang Serai, keempat-empat AP itu dilihat beramah mesra dari meja ke meja sambil berbual dengan para pengunjung dan peniaga dari sekitar 8.30 pagi hingga 10 pagi.

Kehadiran AP tersebut adalah untuk mendapatkan gambaran tentang suasana serta keprihatinan penduduk, peniaga dan penjaja.

Ini di samping bagaimana pemerintah dapat meyakinkan mereka bahawa usaha Dr Faishal akan diteruskan, kata Encik Zaqy.

Encik Zaqy juga berkata, beliau sedang mendampingi badan Melayu/Islam (MMO) dan telah bertemu dengan beberapa pemimpin mereka pada 25 Julai.

Beliau menambah bahawa beliau akan meneruskan usaha Dr Faishal dalam bidang tersebut, termasuk inisiatif M Kuasa Tiga Plus (M3+).

Inisiatif tersebut menghimpunkan lebih banyak kumpulan di luar rakan kerjasama M3 sedia ada iaitu badan bantu diri Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra).

Encik Zaqy telah bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat dalam sesi pendampingan sejak pelantikannya.

Pada 21 Julai, sehari selepas beliau dilantik sebagai pemangku menteri, beliau mengadakan sesi dialog bersama pemimpin masyarakat di samping Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.