Ibu bapa muda bekerja yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berumur 12 tahun dan ke bawah akan menerima lebih banyak Cuti Penjagaan Anak (CCL).

Jumlah CCL akan meningkat bagi mereka yang mempunyai lebih ramai anak dan sekiranya pasangan mereka juga bekerja.

Demikian diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 23 Ogos yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, di Ang Mo Kio.

Pada masa ini, ibu bapa bekerja yang mempunyai seorang anak berumur enam tahun dan ke bawah akan mendapat CCL selama enam hari, dan hanya dua hari cuti penjagaan anak lanjutan (ECL) sebaik sahaja anak tersebut mencapai umur antara tujuh dengan 12 tahun.

Dengan penyelarasan hak CCL, ibu bapa yang bekerja akan menikmati lapan hari CCL jika mereka mempunyai seorang anak serta 10 hari jika mereka mempunyai dua anak.

Tempoh cuti ini dihadkan kepada 12 hari jika mereka mempunyai tiga anak atau lebih, tanpa mengira umur anak bongsu.

Kelayakan CCL ini juga akan digandakan – 16 hari untuk seorang anak; 20 hari untuk dua anak; dan dihadkan kepada 24 hari untuk tiga atau lebih anak – jika kedua-dua ibu bapa bekerja.

“Kami akan menambah peruntukan cuti penjagaan anak. Dan kami akan memperuntukkannya mengikut jumlah anak yang dimiliki (lebih ramai anak, lebih banyak cuti yang bakal anda terima).

“Apabila dikira secara keseluruhan, penambahannya amat ketara.

“Langkah ini akan memberi ibu bapa lebih banyak masa dan kelonggaran yang jauh lebih besar untuk menjaga anak mereka,” kata Encik Wong.

Melihat bagaimana kos kewangan cuti berkaitan anak ini dikongsi antara pemerintah dengan majikan, Encik Wong menambah, pemerintah telah menyemak semula pengaturan tersebut dan akan menanggung kos semua cuti berkaitan anak berkanun, sehingga had pembayaran balik.

Ini, kata Encik Wong, akan mengurangkan beban kewangan majikan, sambil menggalak majikan supaya lebih menyokong pekerja mereka yang juga ibu bapa.

“Oleh itu, saya menyeru semua majikan agar memainkan peranan anda. Sokong ibu bapa dalam organisasi anda dan berikan mereka keyakinan untuk mengambil cuti yang menjadi hak mereka.

“Bantu mereka untuk membiasakan diri dengan tugas selepas bercuti.

“Pastikan apabila seseorang pekerja bergelar ibu bapa, ia tidak sesekali menjadi satu kerugian kepada kerjaya seseorang,” kata Encik Wong..

Butiran lanjut, termasuk tarikh mula skim cuti penjagaan anak baharu, akan diumumkan pada tarikh kemudian, kata Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) dalam satu kenyataan pada 23 Ogos.

Ia menambah, pemerintah telah bekerjasama rapat dengan rakan kongsi tiga pihak mengenai penambahbaikan ini, dan akan terus melibatkan majikan dan ibu bapa untuk mengumpulkan maklum balas mengenai pelaksanaannya.