Pekerja khidmat luaran atau outsourced worker di bawah Model Gaji Progresif (PWM) bakal menerima cuti tahunan minimum sebanyak 10 hari, meningkat daripada tujuh hari.

Langkah ini akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2029, dan akan memberi manfaat kepada sekitar 60 peratus pekerja khidmat luaran merentasi lima sektor PWM iaitu pembersihan, keselamatan, landskap, lif dan eskalator, serta pengurusan sisa.

Demikian diumumkan oleh Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, pada 19 Julai semasa pelancaran Kempen Penghargaan Pekerja PWM anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) di Heartbeat@Bedok.

“Walaupun telah menjalankan peranan yang sama selama bertahun-tahun, perkhidmatan mereka (pekerja khidmat luaran) tidak diiktiraf, dan kelayakan cuti mereka tidak berubah pada kadar asas tujuh hari.

“Disebabkan itu, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kami akan meningkatkan kelayakan cuti tahunan minimum bagi pekerja khidmat luaran di bawah PWM daripada tujuh hari kepada 10 hari.

“Langkah ini akan memastikan pekerja-pekerja ini menerima kelayakan cuti tahunan yang mencerminkan tugas dan tahun perkhidmatan mereka,” kata Encik Dinesh kepada sekitar 150 pekerja PWM yang hadir.

Encik Dinesh, yang disertai Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Melvin Yong, juga melancarkan buku komik pertama bertajuk Please Watch-over Me, ditujukan khas buat pekerja PWM.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dalam satu kenyataan, menambah bahawa kadar minimum baharu ini tidak seharusnya menjejas peningkatan cuti tahunan sedia ada yang layak diterima oleh pekerja kontrak di bawah Akta Kerja.

Di bawah Akta Kerja, MOM menjelaskan bahawa pekerja berhak mendapat cuti tahunan minimum sebanyak tujuh hari pada tahun pertama perkhidmatan mereka.

Jumlah ini akan meningkat sebanyak satu hari bagi setiap tahun perkhidmatan dengan majikan yang sama, hingga kelayakan maksimum sebanyak 14 hari.

Namun, sesetengah aturan pekerjaan mungkin menghalang pekerja kontrak daripada menikmati kelayakan cuti ini.

“Sebagai contoh, apabila penyedia perkhidmatan baharu dilantik untuk mengambil alih kontrak perkhidmatan, pekerja kontrak mungkin diambil bekerja semula oleh penyedia perkhidmatan baharu tersebut sementara terus menjalankan peranan atau bekerja di lokasi yang sama.

“Namun kelayakan cuti mereka mungkin ditetapkan semula kepada kadar minimum tujuh hari sebagai satu amalan pekerjaan biasa dalam sektor-sektor ini,” ujar MOM.

Justeru, pekerja yang sudah pun menerima faedah cuti melebihi kadar minimum baharu ini harus terus menerimanya, selaras dengan syarat pekerjaan mereka dan Akta Kerja, tambah MOM.

Salah seorang pekerja yang bakal meraih manfaat daripada langkah ini ialah Encik Abdul Raman Amil, seorang pekerja pembersihan kontrak berusia 62 tahun.

Sebagai pekerja kontrak bersama syarikat Chang Seng Services, beliau telah menyediakan khidmat pembersihan dan penyenggaraan bagi Majlis Bandaran East Coast selama dua tahun.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di acara penghargaan PWM, Encik Abdul Raman berkongsi bagaimana beliau rasa dihargai di tempat kerja.

“Meskipun saya pekerja kontrak, saya sentiasa disokong oleh penyelia saya.

“Kadang kala ada penduduk yang mengadu dan kata blok mereka kotor atau tiada pekerja pembersih, tetapi penyelia sentiasa mempertahankan saya dan menjelaskan bahawa saya telah membersihkan kawasan tersebut dengan baik,” kata Encik Abdul Raman.

Dengan cuti tahunan tambahan, beliau merancang menghabiskan masa itu bersama isteri, tiga anak dan sembilan cucunya.