Sepuluh minggu tambahan bagi Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa (SPL), bersama empat minggu cuti paterniti wajib yang berkuat kuasa 1 April 2026, menandakan kemajuan ketara dalam menyokong kesejahteraan ibu bapa dan anak-anak di Singapura, menurut Kumpulan Sokongan Ibu yang Menyusukan Anak (BMSG).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 20 Ogos, badan tersebut berkata ia mengalu-alukan peraturan cuti ibu bapa baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa ucapan Rapat Hari Kebangsaannya pada 18 Ogos.
“Sama ada ibu memilih untuk mengambil cuti tambahan penuh atau berkongsi dengan pasangan mereka, dasar ini memastikan fleksibiliti yang lebih besar dan sokongan penjagaan yang lebih kukuh, dan menggalakkan tanggungjawab penjagaan bersama.
“Sekiranya seorang ibu memilih untuk mengambil kesemua 10 minggu tambahan untuk kegunaannya, dasar ini menyokong matlamatnya untuk menyusu secara eksklusif selama enam bulan, seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga,” jelas BMSG.
Ia menambah bahawa cuti bersalin selama 16 minggu yang telah disediakan buat masa kini sudah melebihi saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selama 14 minggu.
Ini dikatakan sudah mencerminkan “komitmen kuat pemerintah terhadap kesihatan dan kesejahteraan ibu”.
Dalam mengalu-alukan pengumuman itu, BMSG turut menekankan kepentingan menjaga sokongan tempat kerja bagi ibu menyusu, termasuk ruang rehat.
“Kami berharap meningkatkan kesedaran tentang tempat kerja yang terangkum dan penyayang akan memberi inspirasi kepada pelaksanaan amalan positif di semua tempat kerja.
“Majikan dan pekerja yang ingin mendapatkan panduan mengenai sokongan penyusuan susu badan digalakkan untuk menghubungi BMSG untuk mendapatkan kepakaran dan sumber,” kata BMSG.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg