Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PPIS: Pengumuman NDR beri inspirasi kepada wanita, bantu perkukuh keluarga

Aug 20, 2024 | 7:27 PM
Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim mengalu-alukan pengumuman pemerintah untuk menyokong wanita dan memperkukuh keluarga.
Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim mengalu-alukan pengumuman pemerintah untuk menyokong wanita dan memperkukuh keluarga. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Strategi pemerintah untuk menyokong pembangunan keluarga, menyediakan perumahan yang mudah diakses, dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat adalah permulaan yang baik bagi menggalak rakyat Singapura menyegar impian Singapura, kata Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 20 Ogos, Cik Hazlina berkata PPIS mengalu-alukan daya utama yang diumumkan semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2024, yang menitik berat peri pentingnya keluarga yang kukuh dan sokongan berterusan bagi wanita dalam usaha peribadi dan profesional mereka.

Khususnya, beliau memuji cuti tambahan bersama bagi ibu bapa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang katanya “mencerminkan keperluan keluarga yang kian berkembang di Singapura”.

“Penanda kuat untuk menggalak lebih ramai bapa berkongsi tanggungjawab dalam tugas penjagaan dapat dilihat dalam peralihan dasar untuk mewajibkan cuti mereka.

“Cuti tambahan bersama bagi ibu bapa selama 10 minggu akan membolehkan lebih banyak masa bersama anak-anak di tengah-tengah gaya hidup kita yang sibuk,” kata Cik Hazlina.

Beliau juga menegaskan bahawa sokongan tambahan untuk keluarga yang lebih besar juga mencerminkan pengiktirafan pemerintah terhadap cabaran unik mereka.

Cik Hazlina juga berkata PPIS akan bekerjasama dengan pemerintah dan rakan kongsi masyarakat untuk membantu mereka.

PPIS juga mengalu-alukan keputusan pemerintah untuk memperluaskan akses keutamaan kepada golongan bujang bagi membolehkan mereka membeli flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) baru untuk tinggal bersama atau berhampiran ibu bapa mereka.

Langkah tersebut, Cik Hazlina berkata, adalah penting ke arah mengiktiraf peranan penting yang turut dimainkan oleh anak bujang di dalam keluarga untuk menjaga ibu bapa mereka.

“Dengan menyediakan akses keutamaan yang sama kepada mereka, dasar ini memastikan individu ini disokong dengan lebih baik dalam tugas penjagaan mereka, membolehkan mereka hidup lebih dekat dengan ibu bapa mereka dan menyediakan penjagaan dan sokongan yang diperlukan.

“Perubahan ini mencerminkan pendekatan yang lebih terangkum, mengiktiraf kepelbagaian dinamik keluarga di Singapura dan memperkukuh kepentingan menyokong semua keluarga, tanpa mengira komposisi mereka,” kata Cik Hazlina.

Dalam memuji daya utama sedemikian, Cik Hazlina menambah bahawa anjakan minda dan semakan lanjut masih diperlukan bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh mereka yang menjaga ibu bapa yang sudah berusia senja, atau mereka yang memerlukan keperluan penjagaan yang lebih kompleks.

PPIS juga mengalu-alukan Program Peningkatan SkillsFuture dan Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture, yang disifatkan sebagai langkah penting dalam menyokong warga Singapura yang berumur 40 tahun dan ke atas, khususnya wanita yang sering menghadapi kos peluang yang lebih tinggi apabila mengikuti latihan lanjut.

Cik Hazlina menekankan penemuan daripada Kajian Wanita Muslim Singapura (AMWR) PPIS mendedahkan bahawa wanita Islam menghadapi cabaran tenaga kerja yang unik, termasuk tanggungjawab menjaga dan akses terhad kepada pendidikan dan latihan.

“33.9 peratus daripada responden mengambil langkah pertama ke arah mencapai aspirasi kerjaya mereka dengan memperoleh maklumat dan pengetahuan, menunjukkan keinginan mereka untuk meningkatkan kemahiran.

“Jumlah kecil ini menunjukkan keperluan sokongan tambahan untuk membantu mereka mengatasi halangan yang mereka hadapi.

“Untuk menangani keperluan ini, menyediakan sokongan kewangan tambahan, termasuk elaun untuk mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas, akan menjadi penting dalam mengurangkan kos peluang yang sering menghalang wanita,” kata Cik Hazlina.

Beliau menambah bahawa sokongan pemerintah yang dipertingkatkan untuk pendidikan dan kerjaya wanita akan membantu merapatkan jurang yang akan memperkasakan wanita untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.

“Penanda kuat untuk menggalak lebih ramai bapa berkongsi tanggungjawab dalam tugas penjagaan dapat dilihat dalam peralihan dasar untuk mewajibkan cuti mereka. Cuti tambahan bersama bagi ibu bapa selama 10 minggu akan membolehkan lebih banyak masa bersama anak-anak di tengah-tengah gaya hidup kita yang sibuk.” 
Cik Hazlina Abdul Halim, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg