Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Daerah undi 12 kawasan undi dikemas kini jelang GE2025

Ini kali ketiga daerah mengundi dikemas kini oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD) sejak GE 2020
Feb 20, 2025 | 4:20 PM
Di GRC Tampines, kawasan yang dahulunya merupakan satu daerah mengundi di Tampines North kini dilakar semula menjadi enam daerah mengundi.
Di GRC Tampines, kawasan yang dahulunya merupakan satu daerah mengundi di Tampines North kini dilakar semula menjadi enam daerah mengundi. - Foto ZAOBAO

Perubahan telah dibuat ke atas daerah mengundi di 12 kawasan undi baru-baru ini, menandakan kerja Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) sedang dijalankan.

Ini kali ketiga daerah mengundi dikemas kini oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD) sejak Pilihan Raya Umum (GE) 2020. Ia sebelum ini dikemas kini pada Jun 2023 dan Jun 2024.

Dengan pusingan perubahan baru-baru ini, sembilan kawasan undi – yang kebanyakannya menyaksikan bilangan pengundi meningkat – kini mempunyai lebih banyak daerah mengundi.

Bagi baki tiga kawasan undi, tiada pelarasan kepada bilangan daerah mengundinya, tetapi sempadan antara daerah mengundinya yang berjiran disemak semula, lapor The Straits Times.

Daerah mengundi adalah bahagian kecil dalam sebuah kawasan undi yang mempunyai sekurang-kurangnya sebuah pusat mengundi setiap satu.

Perubahan-perubahan itu sebahagian daripada proses sebelum GE akan datang, dan disiarkan dalam warta pemerintah pada 14 Februari.

Kawasan undi yang terjejas ialah Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied, East Coast, Holland-Bukit Timah, Jurong, Marine Parade, Pasir Ris-Punggol, Tampines, Tanjong Pagar dan West Coast, serta Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hong Kah North, Potong Pasir dan Yio Chu Kang.

Bilangan daerah mengundi meningkat dalam semua tempat kecuali GRC Marine Parade, Tampines dan Tanjong Pagar.

Walaupun pelarasan itu tidak semestinya memberi kesan kepada bagaimana sempadan kawasan undi akan disemak semula, perubahan itu akan dirujuk dalam laporan EBRC yang akan datang.

Perubahan pada daerah mengundi dalam sesebuah kawasan undi bermakna pengundi mungkin membuang undi di pusat mengundi berbeza daripada sebelumnya.

Jawatankuasa itu juga boleh mewujudkan kawasan undi baru dengan memindahkan daerah mengundi dari satu kawasan undi ke kawasan undi yang lain.

Para pemerhati berkata perubahan daerah mengundi lazimnya dibuat atas beberapa sebab: peralihan penduduk, untuk menjadikan pengundian lebih mudah dengan pusat mengundi lebih dekat, dan untuk memastikan setiap daerah berkhidmat kepada bilangan pengundi yang lebih kurang sama.

Dalam kemas kini ini, daerah mengundi sering dinomborkan semula atas sebab pentadbiran dan sempadan daerah dilakar semula, menyebabkan lebih banyak atau kurang daerah mengundi secara keseluruhan. Sempadan kawasan undi yang lebih besar kekal sama.

Kemas kini terkini itu datang selepas EBRC diadakan pada 22 Januari.

GE akan datang, dijangka secara meluas pada pertengahan 2025, harus diadakan menjelang November 2025.

Peta-peta yang dilakar menunjukkan perubahan sering berlaku di tempat terdapat projek Bina Ikut Tempahan (BTO).

Di GRC Pasir Ris-Punggol, penyiapan projek seperti Northshore Residences I dan II menyaksikan satu daerah mengundi dilakar semula menjadi enam.

GRC Tampines melihat perubahan yang sama, kerana kawasan yang dahulunya merupakan satu daerah mengundi di Tampines North kini menjadi enam, selepas penduduk baru berpindah ke estet seperti GreenVines dan GreenCourt.

Secara amnya, kawasan undi yang menyaksikan pertambahan pengundi berdaftar sejak lima tahun lepas turut menyaksikan pertambahan daerah mengundi.

Tetapi terdapat beberapa pengecualian. Sebagai contoh, bilangan pengundi di GRC Aljunied berkurangan sebanyak 3,561 orang tetapi daerah mengundinya bertambah tiga.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg