Daftar pengundi Singapura sudah dikemas kini dengan nama semua pengundi yang layak setakat 1 Februari 2025 dan akan dibuka untuk pemeriksaan awam dari 15 hingga 28 Februari.
Ini mungkin langkah semakan terakhir sebelum pilihan raya yang dijangka bakal diadakan pada suku kedua 2025, dan mesti diadakan paling lewat November 2025.
Dalam satu kenyataan pada 14 Februari, Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengumumkan bahawa rakyat Singapura boleh menyemak butiran mereka dalam daftar itu melalui laman web ELD atau melalui ‘My Profile’ pada aplikasi Singpass.
ELD sebelum ini mengumumkan pada 22 Januari bahawa Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mengarahkan Pegawai Pendaftaran Pengundi untuk mengemas kini Daftar Pengundi sebelum 1 April.
Dalam kenyataannya pada 14 Februari, ELD berkata orang ramai boleh mengemukakan tuntutan semasa tempoh pemeriksaan jika terdapat nama atau butiran yang tertinggal atau tidak sepadan dengan yang tertera pada Kad Pengenalan (NRIC).
Dalam tempoh ini, orang ramai juga boleh mengemukakan bantahan untuk mengeluarkan nama daripada daftar pengundi bagi kawasan pilihan raya yang berkaitan.
Untuk layak mengundi, seorang warga Singapura perlu berusia sekurang-kurangnya 21 tahun, mempunyai alamat kediaman di Singapura atau alamat setempat untuk dihubungi, dan tidak dikeluarkan daripada daftar pengundi mengikut mana-mana undang-undang bertulis.
ELD berkata, semakan butiran, tuntutan dan bantahan boleh dikemukakan melalui laman webnya, atau dilakukan secara peribadi di pejabat ELD di 11 Novena Rise, 113 kelab masyarakat atau balai rakyat, pusat ServiceSG di serata negara serta 10 pusat pendaftaran luar negara.
Senarai tuntutan akan dipaparkan untuk pemeriksaan di lokasi ini antara 12 dengan 19 Mac, lapor The Straits Times (ST).
Mereka yang memilih untuk ke pejabat ELD hendaklah terlebih dahulu membuat janji temu secara dalam talian atau menghubungi talian 1800-225-5353.
Daftar Pengundi di Singapura, yang merangkumi 31 kawasan undi, telah disahkan pada Julai 2024 dengan jumlah 2,715,187 pengundi.
Ini mencatatkan peningkatan sebanyak 5,732 pengundi berbanding Julai 2023, sebelum pilihan raya presiden 2023.
Individu yang nama mereka telah dikeluarkan daripada daftar kerana gagal mengundi pada pilihan raya lalu masih boleh memohon supaya nama mereka dimasukkan semula melalui tab ‘Voter Services’ di laman web ELD.
ELD menggesa orang ramai supaya membuat permohonan awal, kerana mengikut undang-undang, nama tidak boleh dimasukkan ke dalam daftar selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan.
Semasa pilihan raya 2015, daftar pengundi disahkan pada April, sebelum pilihan raya diadakan pada 11 September.
Semasa pilihan raya 2011 pula, Hari Mengundi jatuh pada 7 Mei, kurang tiga bulan selepas daftar pengundi disahkan pada 22 Februari.
Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) telah dibentuk pada 22 Januari, menandakan Pilihan Raya Umum (GE) 2025 akan diadakan tidak lama lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg