Polis menyasar untuk memperuntukkan dua lokasi bagi anjuran rapat pilihan raya bagi setiap GRC dan satu bagi setiap Kawasan Undi Perseorangan (SMC).
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, berkata di Parlimen pada 18 Februari bahawa satu lokasi juga akan diperuntukkan untuk rapat pilihan raya waktu makan tengah hari.
Cik Sun berkata demikian sebagai respons kepada soalan yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, yang bertanya tentang jumlah kawasan yang bakal disediakan bagi rapat Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025).
Encik Pritam turut bertanya tentang jangka masa senarai kawasan itu akan diumumkan, serta sama ada Jabatan Pilihan Raya (ELD) boleh mengeluarkan senarai tersebut apabila Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) membentangkan laporannya di Parlimen.
EBRC telah dibentuk pada 22 Januari, menandakan GE2025 akan diadakan tidak lama lagi, dan pilihan raya itu mesti diadakan paling lewat November 2025, lapor The Straits Times (ST).
Menurut Cik Sun, EBRC tidak diberikan jangka masa tetap untuk mengeluarkan laporan, namun sebelum ini ia telah mengambil masa antara tiga minggu dengan tujuh bulan.
Cik Sun berkata senarai kawasan rapat pilihan raya akan diumumkan pada akhir proses penamaan calon pada Hari Penamaan Calon, selaras dengan pendekatan yang digunakan dalam GE2011 dan GE2015 yang mempunyai rapat fizikal.
Rapat pilihan raya tidak dibenarkan untuk diadakan secara fizikal pada pilihan raya umum sebelum ini, GE2020, bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.
Encik Pritam juga bertanya sama ada kawasan seperti stadium dan padang terbuka sedang dipertimbangkan.
Cik Sun menjawab, polis sedang menilai pelbagai kawasan, termasuk padang terbuka, stadium dan sekolah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg