Topik diikuti
Pergi ke BHkuDaftar Darjah 1: Enam sekolah isi sekurangnya separuh tempat selepas fasa pertama
Daftar Darjah 1: Enam sekolah isi sekurangnya separuh tempat selepas fasa pertama
Daftar Darjah 1: Enam sekolah isi sekurangnya separuh tempat selepas fasa pertama
Enam sekolah rendah telah mengisi sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah tempat yang tersedia selepas fasa pertama pendaftaran Darjah 1 tamat.
Keputusan Fasa 1, yang diperuntukkan bagi kanak-kanak yang mempunyai abang atau kakak sudah berdaftar di sekolah tersebut, diumumkan pada 8 Julai.
Fasa itu berlangsung dari 30 Jun hingga 2 Julai.
Angka yang diterbitkan di laman web Kementerian Pendidikan (MOE) menunjukkan enam sekolah yang telah mengisi sekurang-kurangnya 50 peratus tempat ialah Sekolah Rendah Admiralty, Sekolah Rendah Canossa Catholic, Sekolah Rendah Nan Hua, Sekolah Rendah North View, Sekolah Red Swastika dan Sekolah Rendah Valour.
Pada fasa yang sama dalam pendaftaran 2025, lapan buah sekolah telah mengisi sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah tempat mereka.
Mendahului senarai pada 2026 ialah Sekolah Red Swastika di Bedok, yang telah mengisi kira-kira 60 peratus daripada jumlah yang tersedia.
Sekolah itu masih mempunyai baki 24 tempat untuk Fasa 2A, yang diperuntukkan bagi kanak-kanak yang ibu bapa atau abang/kakaknya merupakan bekas murid sekolah tersebut, atau yang ibu bapanya merupakan ahli jawatankuasa penasihat atau pengurusan sekolah, atau yang ibu bapanya merupakan kakitangan sekolah itu.
Kedua dalam senarai ialah Sekolah Rendah Valour di Punggol, yang telah mengisi hampir 51 peratus daripada jumlahnya, meninggalkan 43 tempat untuk Fasa 2A.
Sekolah Rendah Canossa Catholic, yang mempunyai 120 tempat, telah mengisi kira-kira separuh tempatnya dan tidak akan menawarkan tempat dalam Fasa 2A, menurut laman web MOE. Baki 59 tempatnya telah dikhaskan untuk Fasa 2B dan 2C.
Kanak-kanak daripada 56 tadika MOE di bawah sekolah rendah pilihan mereka turut layak di bawah Fasa 2A.
MOE turut memberikan kemas kini mengenai bilangan tempat yang masih ada untuk Fasa 2A merentasi 179 sekolah rendah.
Angka itu tidak termasuk 60 tempat yang dikhaskan untuk Fasa 2B dan 2C, yang disediakan oleh kementerian sejak 2022 bagi memastikan sekolah kekal mudah diakses oleh seramai mungkin kanak-kanak.
Pada April 2026, MOE berkata pengambilan Darjah 1 bagi kebanyakan sekolah rendah akan dikurangkan dalam beberapa tahun akan datang, bermula dengan senarai pendaftaran 2026.
Ini didorong oleh penurunan saiz kohort kelahiran.
MOE pada ketika itu berkata langkah tersebut akan “mengurangkan keperluan untuk menggabung atau memindahkan sekolah, serta memastikan sekolah rendah tersedia di seluruh Singapura untuk murid”.
Terdapat sekitar 38,100, 37,800 dan 38,200 murid Darjah 1 masing-masing pada 2024, 2025 dan 2026.
Kira-kira 36,800 kanak-kanak dijangka mendaftar untuk kemasukan ke sekolah rendah pada 2027.
Fasa 2A bermula 9 pagi pada 9 Julai dan berakhir 4.30 petang pada 10 Julai. Keputusan bagi fasa itu akan dikeluarkan pada 17 Julai.
