Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Daftar korban Aidiladha dibuka, sebahagian daging akan diagih ke Gaza

52 masjid tawar khidmat korban di luar negara, 6 masjid jadi tapak korban tempatan
Apr 10, 2025 | 9:42 PM
Sebahagian daripada daging biri-biri daripada upacara korban akan diproses, ditinkan dan diedar kepada rakyat Palestin di Gaza.
Sebahagian daripada daging biri-biri daripada upacara korban akan diproses, ditinkan dan diedar kepada rakyat Palestin di Gaza. - Foto ST

Pendaftaran ibadah korban Hari Raya Aidiladha dibuka dari 10 April hingga 31 Mei, dengan sebahagian daripada dagingnya akan diagihkan kepada rakyat Palestin di Gaza.

Kira-kira 52 masjid di Singapura akan menawarkan perkhidmatan korban di luar negara, kata jawatankuasa kecil SalamSG Korban pada 10 April, lapor The Straits Times.

Ternakan itu akan disembelih di Australia dan dagingnya disejuk, dibungkus dan dihantar ke Singapura. Pengaturan sedemikian bermula pada 2020 akibat pandemik.

Enam masjid di Singapura dikenal pasti sebagai tapak untuk ibadah korban tempatan. Butiran lanjut akan diumumkan oleh vendor korban yang diluluskan kelak.

Hari Raya Haji dijangka jatuh pada 7 Jun.

Tiga ternakan – lembu, biri-biri dan anak biri-biri – akan ditawarkan untuk ibadah korban.

Ketersediaan setiap ternakan itu berbeza bagi setiap masjid.

Seekor biri-biri korban berharga $360; anak biri-biri berharga $365; dan satu pertujuh daripada seekor lembu berharga $365. Seekor lembu berharga $2,555.

Pada 2025, sebahagian daripada daging biri-biri ibadah yang didermakan akan diproses, ditinkan dan diagih kepada rakyat Palestin di Gaza yang sedang menghadapi krisis kemanusiaan.

Jawatankuasa kecil itu berkata ia telah bekerjasama dengan vendor berpengalaman, yang telah menjalin hubungan dengan pertubuhan kemanusiaan di Jordan untuk memudahkan penghantaran daging dalam tin ke Gaza dengan selamat.

Sementara itu, daging yang akan dihantar ke Singapura akan diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan dalam masyarakat termasuk penerima zakat, keluarga individu yang dipenjarakan dan pekerja migran.

“Langkah pengedaran ini mencerminkan komitmen SalamSG untuk memupuk rasa syukur dan murah hati, sambil memastikan ibadah korban dapat memperkayakan kehidupan umat Islam di Singapura dan di seluruh dunia di kawasan yang dilanda konflik,” katanya.

Mereka yang ingin menjalankan ibadah korban boleh mendaftar dalam talian melalui pautan www.ourmasjid.sg/korban atau pergi ke masjid yang mengambil bahagian untuk membuat tempahan.

Mereka yang telah menempah dan membuat bayaran bagi korban akan menerima daging yang dibungkus dan disejukkan mulai 11 Jun.

SalamSG Korban telah memastikan semua vendor luar negara mematuhi syarat bagi import, penyimpanan dan pengagihan produk daging.

Semua vendor juga akan berada di lokasi penyembelihan bagi memastikan semua hukum agama bagi ibadah korban dipatuhi, tambah jawatankuasa kecil itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg