“Bunyinya seperti guruh, tetapi apabila saya melihat ke atas, saya nampak dahan pokok itu jatuh,” kata Encik Faris Abdul Malik, yang baru sahaja menghantar anaknya ke pusat penjagaan kanak-kanak di Blok 961 Hougang Avenue 9.
Dahan besar, yang dianggarkan setinggi tujuh tingkat, tumbang dari sebatang pokok di hadapan Blk 963 pada pagi 18 Disember.
Menurut rakaman kamera kereta Encik Faris, dahan itu telah jatuh sekitar 10.28 pagi, mengejutkan penduduk di kawasan itu.
Seorang penduduk yang tinggal di tingkat empat blok tersebut dan sedang bekerja dari rumah ketika kejadian itu berlaku, Cik Noor Amalina Abdul Rahaman, menggambarkan detik itu sebagai sesuatu yang mengejutkan.
“Saya sedang berbual dengan ibu saya apabila saya terdengar dentuman kuat. Pada mulanya, saya fikir datuk saya mungkin jatuh di luar rumah dengan PMDnya (alat mobiliti peribadi).
“Tetapi apabila saya lihat luar rumah, saya menyedari bunyi itu berpunca daripada dahan pokok besar yang telah tumbang ke tanah.
“Daun berselerak di koridor, dan pasu bunga kami di luar rumah turut jatuh dan terbalik,” ujar pegawai perkhidmatan pelanggan itu kepada wartawan.
Menurut video Encik Faris dan Cik Noor Amalina, dahan tersebut bukan sahaja jatuh ke tanah tetapi juga termasuk ke tiga tingkap di sebuah unit di tingkat dua.
Seorang pembantu rumah di satu lagi unit di tingakt dua, Cik Gina Talingdan, yang sedang melipat baju apabila kejadian itu berlaku berkata, “Kami tinggal di kawasan yang banyak pokok matang. Mungkin mereka boleh potong lebih dahan walaupun ia memberikan teduhan. Kejadian seperti ini membuatkan saya risau tentang keselamatan.”
Encik Faris, yang menyaksikan dahan itu jatuh ketika ingin keluar estet tersebut, kemudian keluar dari keretanya untuk meninjau keadaan.
“Nasib baik pokok itu jatuh ke kawasan rumput dan bukan di jalan raya, dan tiada sesiapa yang cedera,” katanya agen hartanah itu, sambil menambah bahawa jiran-jiran segera menghubungi majlis bandaran.
Apabila wartawan tiba di tempat kejadian, tedapat dua ahli hortikultur Majlis Bandaran Ang Mo Kio (AMKTC) dilihat memeriksa kawasan kejadian sejurus selepas insiden itu.
Dalam responsnya kepada akhbar ini, jurucakap AMKTC berkata sejurus diberitahu tentang kejadian dahan pokok yang jatuh di Blok 963, Hougang Avenue 9 pada 18 Disember, pihaknya terus menghadang kawasan itu dan membersihkan ranting dan dedaun bagi memastikan keselamatan penduduk.
Tiada kecederaan atau kerosakan harta yang disebabkan insiden itu.
“AMKTC mematuhi secara ketat panduan Lembaga Taman Negara (NParks) bagi pemeriksaan dan penyenggaraan, dengan pakar penjagaan pokok yang bertauliah menjalankan pemeriksaan pokok secara menyeluruh setiap enam bulan.
“Dahan yang jatuh itu adalah daripada pokok jenis Rain Tree (Pukul Lima) yang kali terakhir diperiksa pada Mei dan November 2024, dan pemangkasan pokok dilakukan pada Julai 2024 dan selanjutnya pada Januari 2025.
“Pemeriksaan lanjut pokok sekelilingnya akan dijalankan, dan satu siasatan sedang berjalan bagi mengenal pasti punca dan mencegah insiden serupa daripada berulang.
“Pasukan hortikultur kami juga menjalankan pemeriksaan tambahan semasa musim monsun atau tempoh di mana anginnya kuat bagi menyemak risikonya dan mengambil langkah pencegahan,” kata jurucakap itu.
Penduduk yang mendapati terdapat potensi merbahaya pokok atau dahan digalak melaporkannya dengan menghubungi pihak Majlis Bandaran.
“AMKTC komited untuk memastikan keselamatan penduduk dan kami akan terus mengutamakan langkah bagi melindungi kebajikan mereka,” tambah jurucakap tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg