Tarikh 1 Muharam menandakan permulaan tahun baru dalam kalendar Hijrah bagi umat Islam.
Pada 2025, sambutan awal Muharam 1447 Hijrah jatuh pada 26 Jun.
Tanggal ini bukan sekadar pertukaran angka pada kalendar, malah menjadi detik penting bagi seluruh umat Islam merenung kembali perjalanan hidup, memperbaharui azam serta menanam tekad untuk berhijrah ke arah yang lebih baik dari segi akhlak, ibadah, dan peranan dalam masyarakat.
Peristiwa hijrah Rasulullah saw dari Makkah ke Madinah menjadi asas penetapan kalendar Islam yang kita gunakan sehingga ke hari ini.
Namun, hijrah bukan semata-mata perpindahan fizikal. Ia turut mencerminkan perubahan rohani, keazaman dalam menegakkan kebenaran, dan kesungguhan membina masyarakat yang adil dan sejahtera.
Oleh itu, setiap kali menjelang 1 Muharam, kita diajak menilai kembali arah tuju kehidupan kita:
Adakah kita masih berada dalam zon selesa yang tidak membawa kebaikan?
Adakah kita sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah swt dan sebagai anggota masyarakat dengan sebaiknya?
Hijrah sebagai konsep kehidupan
Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, dalam konteks hari ini, konsep hijrah sangat relevan.
Ia boleh diterjemahkan sebagai perubahan daripada kejahilan kepada ilmu; daripada kelalaian kepada keinsafan; dan daripada sikap pasif kepada tindakan yang membina.
“Secara lazim, awal Muharam menjadi simbol bermulanya satu perjalanan baru sama ada dalam kita mempertingkatkan amalan ibadah, memperbaiki hubungan sesama manusia, ataupun dalam memperkukuh peranan kita sebagai penyumbang positif kepada masyarakat.
“Hijrah juga mengajar kita tentang kepentingan strategi, kesabaran dan keikhlasan.
“Rasulullah saw tidak berhijrah secara tergesa-gesa, sebaliknya merancang dengan teliti dan bergantung sepenuhnya pada pertolongan Allah swt.
“Maka, setiap langkah kita ke arah kebaikan hidup juga harus dilakukan dengan perancangan, usaha berterusan, dan tawakal,” jelas Encik Zuraimi.
Kesan awal Muharam kepada masyarakat Islam
Secara umum, sambutan awal Muharam memberi peluang kepada umat Islam agar menyatukan hati dalam penilaian diri dan doa.
Ia juga menjadi satu detik kebangkitan kerohanian dan sosial yang sangat diperlukan dalam dunia moden yang penuh cabaran, tekanan kehidupan dan ketegangan sosial.
“Bagi masyarakat Islam Singapura, awal Muharam bukan sekadar sambutan, bahkan satu peluang memperkukuh identiti dan nilai Islam yang cemerlang.
“Dalam masyarakat majmuk dan serba moden ini, umat Islam perlu terus menunjukkan keindahan akhlak Islam yang murni melalui tindakan harian yang penuh hikmah, toleransi dan kasih sayang.
“Kita juga harus mengambil kesempatan ini untuk memupuk perpaduan keluarga, menyantuni jiran tetangga, dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui kegiatan kemasyarakatan dan keagamaan.
“Hijrah bermakna bergerak ke hadapan, dan masyarakat Islam Singapura harus terus ke hadapan sebagai ummah yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia,” ujar Encik Zuraimi.
Sambutan Awal Muharam 1447H di Masjid Ar-Raudhah
Bagi menyemarakkan semangat dan suasana hijrah yang indah, Masjid Ar-Raudhah akan menganjurkan Majlis Sambutan Awal Muharam 1447 Hijrah, dan mengundang seluruh lapisan masyarakat ke majlis tersebut.
Majlis itu bertujuan menghidupkan semangat Muharam melalui pengisian rohani yang menyentuh hati dan membangkitkan kesedaran.
Acara itu akan berlangsung pada Khamis, 26 Jun 2025 bersamaan 1 Muharam 1447 Hijrah, bermula pada 6.30 petang hingga 10 malam, bertempat di Dewan Solat Aras 1 dan 2, di Masjid Ar-Raudhah.
Antara acara termasuk:
1. Zikir Maathurat – Menghidupkan suasana hati yang tenang dengan zikir-zikir pilihan Rasulullah saw.
2. Doa Akhir dan Awal Tahun – Menutup tahun lama dengan rasa syukur, membuka tahun baru dengan penuh harapan.
3. Solat Hajat – Bermunajat kepada Allah swt untuk perlindungan dan keberkatan dalam tahun mendatang.
4. Selawat ke atas Baginda saw – Menyemai cinta dan teladan kepada Rasulullah saw.
5. Ceramah Khas: ‘Dari Niat ke Tindakan: Hijrah yang Bermakna’. Kupasan menarik bagaimana setiap hijrah perlu bermula daripada niat ikhlas dan diterjemahkan kepada usaha nyata dalam kehidupan.
SEKILAS:
Cara menghulur sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ dan dikirimkan ke masjid beralamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg