Dana $15j sokong kesihatan mental karyawan khidmat sosial bagi kes keganasan domestik
Dana $15j sokong kesihatan mental karyawan khidmat sosial bagi kes keganasan domestik
Dana ditubuh susulan kes Megan Khung
Lebih 1,000 karyawan perkhidmatan sosial yang mengendalikan kes keganasan domestik bakal menerima sokongan tambahan bagi kesejahteraan mental dan fizikal mereka melalui penubuhan dana khusus.
Menerusi dana tersebut, agensi perkhidmatan sosial (SSA) antaranya dapat menjalankan inisiatif yang meningkatkan kesejahteraan diri seperti sesi kaunseling dan terapi, serta memberi cuti kesejahteraan kepada pengamal.
Dana Penjagaan Pengamal Perlindungan bernilai $15 juta yang ditubuhkan oleh Majlis Perkhidmatan Sosial Kebangsaan (NCSS) itu akan dilancarkan mulai 1 Februari 2026.
SSA boleh memohon dana tersebut dengan melungsuri laman web NCSS.
Dana itu pertama kali diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee, di Parlimen pada November 2025, dan merupakan antara langkah untuk mempertingkat sistem perlindungan kanak-kanak susulan kes Megan Khung.
Memberi ulasan lanjut mengenai langkah tersebut kepada wartawan di pameran kesedaran keganasan domestik, Strong Families, Safe Homes, anjuran badan kebajikan Casa Raudha di Our Tampines Hub (OTH) pada 24 Januari, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, berkata kerja perlindungan membawa beban emosi berat.
Ia juga sering mendedahkan karyawan bidang itu kepada trauma ketika berdepan dengan tekanan setiap hari.
“SSA berkongsi pelbagai idea dengan kami mengenai cara membentuk sektor ini serta bagaimana kami boleh menyediakan penjagaan yang lebih baik terhadap kesejahteraan mental, emosi dan fizikal karyawan perlindungan.
“Antara cadangan yang diketengahkan termasuk menjadikan perkhidmatan kaunseling lebih mudah diakses supaya karyawan perlindungan mempunyai ruang selamat untuk memproses pengalaman dan emosi mereka.
“Langkah-langkah ini juga bertujuan meyakinkan pengamal bahawa mereka tidak bersendirian, di samping melaksanakan pelbagai amalan bimbingan serta renungan berpasukan,” tambahnya.
Bagi melayakkan diri menerima dana itu, pengamal perlindungan hendaklah terdiri daripada karyawan perkhidmatan sosial yang berkhidmat di SSA yang dibiayai Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Mereka juga mesti terlibat dalam perkhidmatan menyokong keselamatan dan kesejahteraan individu serta keluarga yang terjejas oleh keganasan domestik.
Ini termasuk pekerja sosial, pekerja kes, pegawai bersekutu kerja sosial, kakitangan penjagaan serta penyelia mereka di agensi seperti pusat pakar perlindungan, tempat perlindungan krisis dan pusat khidmat keluarga.
Dana tersebut boleh digunakan bagi mengatur tenaga kerja alternatif supaya agensi dapat menawarkan cuti kesejahteraan sehingga dua minggu kepada pengamal perlindungan, tertakluk kepada budi bicara masing-masing.
Mereka yang layak menerima cuti kesejahteraan mestilah mempunyai sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman dalam bidang perlindungan, menurut MSF.
Agensi juga boleh menggunakan dana tersebut untuk melaksanakan inisiatif kesejahteraan, termasuk sokongan psikologi dan pementoran, serta program pemulihan atau ‘retreat’.
Langkah tersebut disambut baik karyawan bidang itu, termasuk Pengarah Eksekutif Casa Raudha, Cik Zaharah Ariff.
Casa Raudha merupakan tempat perlindungan bagi mangsa keganasan domestik dan sudah beroperasi selama lebih sedekad.
Memberi ulasannya semasa ditemui wartawan, Cik Zaharah berkata dalam bidang ini, para pengamal “banyak melaburkan emosi” apabila menangani mangsa keganasan domestik.
Secara peribadi, emosinya sendiri mudah tersentuh apabila terkenangkan interaksi bersama klien beliau.
“Adanya sokongan sebegini daripada pertubuhan sangat bermakna. Ia menunjukkan bahawa kami mengambil berat tentang anda (pengamal) sepertimana kami mengambil berat tentang klien,” ujarnya.

