Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat perlu bersatu tangani keganasan rumah tangga

Pelbagai pihak termasuk rakan korporat, golongan belia digerak tingkat kesedaran awam
Aug 26, 2025 | 6:58 PM
keganasan, rumah tangga, Goh Pei Ming
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, menyeru lebih banyak syarikat, sekolah, rakan masyarakat serta orang awam agar turut serta mengesan dan mencegah keganasan rumah tangga. - Foto ST

Singapura harus bersatu sebagai sebuah masyarakat untuk menangani keganasan rumah tangga, dan setiap individu mempunyai peranan dalam melindungi mereka yang mudah terjejas, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming.

Berucap semasa pelancaran kempen, Marilah Kita Hentikan Keganasan Rumah Tangga Bersama, di Politeknik Ngee Ann (NP) pada 26 Ogos, Encik Goh menegaskan bahawa setiap kes keganasan rumah tangga meskipun hanya satu kes, namun tetap tidak dapat diterima.

“Keluarga yang kukuh dan stabil adalah asas masyarakat yang utuh, dan di sinilah kita harus berasa selamat dan disokong.

“Keganasan rumah tangga bukan sahaja menjejas mangsa yang masih hidup, malah merosakkan keluarga dan masyarakat, dan menyinggung nilai asas kita sebagai sebuah masyarakat,” ujar beliau.

Menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam satu kenyataan pada 26 Ogos, kempen yang diperbaharui itu dibangunkan daripada inisiatif terdahulu, Break the Silence, sedekad lalu dan memberi tumpuan kepada Talian Bantuan 24 Jam Antikeganasan serta Gangguan Seksual Nasional (NAVH).

Ditubuhkan pada 2021, talian bantuan 24 jam itu membolehkan orang ramai melaporkan kes keganasan rumah tangga dan pengabaian, menjadikan lebih mudah bagi mangsa dan pemerhati mendapatkan bantuan.

Kempen kali ini menggalakkan rakyat Singapura agar menyimpan nombor NAVH dalam telefon bimbit mereka sebagai langkah mudah tetapi bermakna untuk menunjukkan bahawa keganasan rumah tangga tidak akan diterima.

Encik Goh menekankan bahawa isu itu adalah “kompleks” dan memerlukan usaha seluruh masyarakat.

Menurut beliau, usaha tersebut dicerminkan dalam Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga yang dikeluarkan MSF pada September lalu, yang menunjukkan peningkatan kes dilaporkan dengan tahap kebimbangan rendah hingga sederhana antara 2021 dengan 2023.

“Ini menunjukkan adanya kesedaran yang lebih tinggi dan kesediaan dalam kalangan mangsa serta orang ramai supaya melaporkan penderaan dan mendapatkan bantuan lebih awal,” kongsi Encik Goh.

Sejajar dengan seruan agar usaha menentang keganasan rumah tangga dipikul bersama oleh seluruh masyarakat, pelbagai pihak termasuk rakan korporat dan golongan belia turut digerakkan untuk meningkatkan kesedaran awam melalui kempen diperbaharui itu.

Antaranya, cawan minuman di 67 cawangan tempat makan Koufu dan Happy Hawker bakal dicetak dengan nombor NAVH.

MSF juga telah melatih 77 pengurus tempat makan Koufu dalam Kesedaran Keganasan Rumah Tangga bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran dan maklumat yang diperlukan.

Sebahagian daripada usaha pengendali tempat makan Koufu dalam meningkatkan kesedaran dan menangani keganasan rumah tangga adalah dengan mencetak nombor Talian Bantuan 24 Jam Antikeganasan dan Gangguan Seksual Nasional (NAVH) pada cawan mereka.
Sebahagian daripada usaha pengendali tempat makan Koufu dalam meningkatkan kesedaran dan menangani keganasan rumah tangga adalah dengan mencetak nombor Talian Bantuan 24 Jam Antikeganasan dan Gangguan Seksual Nasional (NAVH) pada cawan mereka. - Foto ST

“Mereka bersama orang ramai, berperanan sebagai mata dan telinga untuk mengesan tanda-tanda serta melaporkan keganasan rumah tangga,” kata Encik Goh.

Sementara itu, golongan belia turut memainkan peranan penting dalam mengubah tanggapan dan meningkatkan kesedaran tentang isu keganasan rumah tangga.

Salah seorang daripada mereka adalah pelajar tahun ketiga Politeknik Ngee Ann (NP), Cik Nurshuadah Mohd Noor, yang bersama rakan pasukannya membangunkan projek, Kata Sesuatu, yang dipamerkan semasa pelancaran kempen tersebut.

Projek tersebut menampilkan poster menjejak perkataan, serta satu jingle atau muzik yang memperkenalkan langkah, ‘Ask, Respond, Tell’, yang mendidik pengunjung tentang pelbagai bentuk penderaan serta sistem unjuran interaktif secara langsung.

Ia dilaksanakan dengan kerjasama pelajar NP, khususnya daripada Sekolah Perniagaan dan Perakaunan serta Sekolah Teknologi InfoComm.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH), penuntut Diploma Pengajian Perniagaan itu berkata:

“Kita tahu bahawa keganasan rumah tangga wujud, tetapi kita sebenarnya tidak begitu tahu bagaimana hendak bertindak.

“Jadi, dengan projek ini, saya rasa ia benar-benar membantu kita memahami bahawa sebenarnya ada cara yang lebih selamat untuk membuat laporan,” ujar beliau, yang berusia 21 tahun.

Kempen kali ini iaitu, ‘Marilah Kita Hentikan Keganasan Rumah Tangga Bersama-sama’, memberi tumpuan kepada Talian Bantuan 24 Jam Antikeganasan dan Gangguan Seksual Nasional (NAVH) dan bertujuan menggalakkan rakyat Singapura agar menyimpan nombor NAVH dalam telefon bimbit mereka.
Kempen kali ini iaitu, ‘Marilah Kita Hentikan Keganasan Rumah Tangga Bersama-sama’, memberi tumpuan kepada Talian Bantuan 24 Jam Antikeganasan dan Gangguan Seksual Nasional (NAVH) dan bertujuan menggalakkan rakyat Singapura agar menyimpan nombor NAVH dalam telefon bimbit mereka. - Foto ST

Bagi melaporkan keganasan atau penganiayaan, orang ramai boleh menghubungi talian NAVH di 1800-777-0000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg