Singapura mesti memperkukuh kedudukannya bukan sahaja sebagai pusat kewangan utama di Asia, bahkan sebagai hab kewangan kecerdasan buatan (AI) yang dipercayai, tegas Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

“Pusat kewangan masa depan bukan sahaja bergantung pada pasaran yang kukuh, institusi mantap dan prasarana yang baik, walaupun semua ini masih penting,” kata Encik Gan ketika berucap semasa pelancaran kajian baru oleh DBS Bank pada 20 Mei.

“Semakin hari, pusat kewangan juga akan dinilai berdasarkan kemampuan mereka memanfaatkan AI secara bertanggungjawab – melaksanakannya secara meluas, mengekalkan kepercayaan, memastikan keselamatan dan melahirkan tenaga kerja yang mampu bekerjasama dengan teknologi.”

Kajian bertajuk, ‘Hab Kewangan AI yang Dipercayai’, meletakkan Singapura antara hab kewangan paling bersedia untuk AI daripada 15 bandar yang dinilai.

Singapura menduduki tempat teratas bagi aspek kepercayaan dengan skor 19 daripada 20, tetapi mencatat skor lebih rendah bagi bakat tenaga kerja, iaitu 15 daripada 20, berbanding markah penuh yang diraih New York dan San Francisco.

Dr Vishal Kapoor dari DBS Group Research berkata Singapura memperoleh skor tinggi kerana negara ini telah lama membangunkan keupayaan AI, tadbir urus, prasarana identiti digital dan penggunaan industri secara tersusun.

“Fasa seterusnya ialah memperkukuh saluran bakat, khususnya dalam penyelidikan AI, inovasi teknologi kewangan dan kerjasama lebih erat antara industri dengan universiti supaya kita terus meningkatkan keupayaan dan penggunaan,” katanya.

Pada acara di Hotel Shangri-La, Encik Gan berkata pemerintah akan memperkukuh kefahaman AI dan membina keupayaan AI khusus mengikut sektor.

“Kami akan bekerjasama dengan industri untuk membangunkan laluan kerjaya baru dalam pelaksanaan AI, tadbir urus data, pengurusan risiko siber dan teknologi kewangan.”

Pemerintah juga akan membantu pekerja yang terjejas melalui pemadanan pekerjaan yang lebih baik, latihan semula dan laluan kerjaya yang lebih jelas, kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Namun begitu, majikan turut memainkan peranan penting, tambahnya.

Dalam dialog bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS, Cik Tan Su Shan, Encik Gan berkata syarikat perlu melihat latihan pekerja sebagai kelebihan daya saing.

“Jika pekerja tidak dilatih dan meningkatkan kemahiran, syarikat akan ketinggalan.

“Latih pekerja supaya mereka terus mendahului perkembangan teknologi dan perubahan perniagaan,” kata Encik Gan, sambil menambah tentang kepentingan untuk memastikan Singapura kekal berdaya saing dan terus penting dalam ekonomi sejagat.

Beliau menambah, nilai penuh AI hanya dapat diperolehi apabila ia disepadukan ke dalam operasi, sistem risiko dan aliran kerja institusi kewangan.

Bagi institusi kewangan, ini bermakna mengenal pasti penggunaan AI berkesan tinggi untuk meningkatkan hasil, termasuk mereka bentuk semula aliran kerja, meningkatkan mutu data, melatih pasukan dan menggabungkan AI ke dalam operasi, bukan sekadar di “pinggir organisasi”.

Namun, perkara itu bukan mudah kerana banyak institusi masih berdepan sistem lama, data berpecah belah, jurang keupayaan dan ketidakpastian terhadap risiko pelaksanaan, ujar Encik Gan.

Firma kecil mungkin kekurangan sumber untuk membangunkan keupayaan AI sendiri, manakala institusi besar memerlukan perubahan besar pada model operasi, kawalan risiko dan budaya organisasi untuk menerima pakai AI.

“Kelebihan kita bukan pada saiz. Tetapi Singapura boleh menjadi tempat penyelesaian AI dibangunkan, diuji dan dilaksanakan bagi kegunaan kewangan dunia sebenar,” tekan Encik Gan.